Ketika menyerang bekas kumpulan medianya, wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin hari ini memberi amaran Media Prima Bhd yang dikawal Umno supaya berhenti menghentam Tun Daim Zainuddin atau ia boleh menikam balik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Kadir dalam tulisan terbaru di blognya hari ini mendedahkan lebih lanjut perang saraf antara penyokong Najib yang menggunakan media arus perdana menghentam pengkritiknya, termasuk Daim dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) yang kini di bawah Media Prima berkata, Najib lebih terdedah kepada serangan peribadi berbanding Daim atau pengkritik lain.
“Kalau mereka kata mereka ada maklumat 'juicy' (mengiurkan) mengenai Daim atau mana-mana pengkritik bos mereka, mereka kena ingat mungkin orang ini mempunyai maklumat yang lebih menyelerakan mengenai bos mereka,” tulisnya dalam di blog kadirjasin.blogspot.com.
Kumpulan Media Prima menggendalikan 4 stesen televisyen percuma dan akhbar edisi Bahasa Melayu dan Inggeris. Kumpulan itu baru-baru ini melepaskan hampir 400 pengurus dan eksekutif dalam satu skim pemisahan bagi meningkatkan hasil dan keuntungan syarikat. Satu lagi media di bawah Umno ialah Utusan Melayu Bhd.
“Mungkin diayah murahan mengenai para pengkritik Najib boleh merosakkan imej mereka, tetapi mereka bukan PM dan mereka pun tidak berkedudukan politik.
“Tetapi cerita-cerita yang menyelerakan mengenai Najib, kalau ada, boleh menjatuhkan beliau. Setidak-tidaknya pun beliau tidak nyenyak tidur malam yang lebih teruk daripada gangguan bunyi motosikal pelumba haram seperti yang isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, ceritakan baru-baru ini.
“Para pendiayah dan laskar siber wajib sedar, iaitu ketika mereka masih merangkak dalam dunia maklumat dan propaganda, para pengkritik Najib sudah pun makan sekarung garam dan kenal bos mereka dari A ke Z,” katanya.
Kritikan terhadap Najib, terutama cara beliau mengendalikan isu hubungan kaum dan agama dan ekonomi, semakin bercambah bukan saja dari wakil rakyat pembangkang, tetapi kini termasuk Daim, Dr Mahathir dan blogger pro Umno yang pernah menyokongnya menjadi perdana menteri selepas kekalahan bersejarah parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 2008 di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kegembiraan terhadap Najib mengambil alih tugas yang pernah disandang allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, menjadi pudar selepas BN kalah lebih teruk dalam pilihan raya umum tahun 2013 walaupun partinya Umno mendapat kemenangan lebih baik.
Pengkritik Najib dalam Umno berkata menggunakan bantuan tunai dan mengikut kata semua kaum tidak akan memberi lebih undi atau kerusi kepada gabungan itu, menambah polisinya tidak memberi manfaat kepada populasi majoriti Bumiputera.
Mereka juga menyertai pembangkang apabila merungut mengenai syarikat pelaburan negara yang kontroversi, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang berdepan masalah membayar semula pinjamannya dan baru-baru ini berdepan satu lagi pertukaran pengurusan.
Media arus perdana Malaysia, yang perlu mendapatkan permit kerajaan, tidak membangkitkan kritikan terhadap Najib, sebaliknya mempamerkan celaan terhadap rungutan mengenai pemerintahannya.
“Daripada cuba membunuh pembawa khabar (the messengers) adalah lebih baik mereka tajamkan sedikit pemikiran dan jawab kritikan terhadap bos mereka satu persatu.
“Kalau mereka kurang faham, biar saya beri sedikit “hint” dalam bentuk soalan, khususnya berkaitan ekonomi sebab saya yakin ramai daripada mereka tidak faham ekonomi,” tulisnya dan menyenaraikan 18 soalan dalam posting itu.
Soalan itu antaranya termasuk daripada Putrajaya tidak mengisytiharkan darurat ketika banjir teruk bulan lepas yang melanda negara dalam tempoh beberapa dekad, menyesuaikan bajet negara ketika harga minyak mentah jauh, inflasi import dan kesan hutang 1MDB terhadap negara.
Tetapi ada 1 soalan tidak berkaitan dengan ekonomi, berkenaan jet kerajaan yang membawa Najib untuk percutian tahunannya ke Amerika Syarikat (AS) yang termasuk bermain golf dengan Presiden AS Barack Obama di Hawaii tetapi gagal membawanya pulang untuk menangani banjir bulan lepas.
Najib pulang menaiki pesawat komersial dari Honululu ke Hong Kong dan kemudian menggunakan pesawat kerajaan lain ke Kota Baru tetapi Putrajaya sudah menjelaskan mengenai pesawat jA319 dlari Honululu ke Los Angeles, Indianapolis, New York, London, Dubai dan Bangkok yang didokumenkan menerusi laman web penjejak penerbangan flightradar24.com.
Dalam tulisannya, Kadir berkata Najib mendarat di Kota Baru dan antara orang terawal yang beliau hubungi ialah Daim.
“Di kalangan penyokong dan petugas Najib pula, ramai bimbang perdana menteri meminta atau menerima nasihat Daim. Mereka tidak mahu kemungkinan itu berlaku kerana nasihat Daim mungkin merugikan mereka.
“Jadi mereka berusaha melemahkan kredibiliti Daim dan pada masa sama cuba melaga-lagakan Najib dengan Daim,” tulisnya.
Tetapi Kadir berkata, pendiayah muda PM yang didakwanya berkuasa dan kaya, mungkin tidak tahu Najib mungkin tidak akan jadi perdana menteri tanpa bantuan Dr Mahathir, Daim, Tan Sri Sanusi Junid, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan veteran Umno yang lain.
“Malah kalau diserahkan bulat-bulat kepada (Tun) Abdullah Ahmad Badawi dan para penerajunya, ada kemungkinan Najib tidak menjadi PM.
“Jadi elok para propagandis, laskar siber dan penggilap epal Najib buang dulu hingus mereka dan belajar daripada sejarah. Jangan terlalu angkuh dengan operasi gelap mereka dan dengan wang yang mereka ada untuk mengupah dan membeli (sokongan),” tulis Kadir.
sumber
No comments: