» » PM umum langkah berdepan kejatuhan harga minyak esok


Putrajaya akan mendedahkan esok pelarasan polisi yang dilakukan untuk berdepan kejatuhan harga minyak dunia, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Dalam ucapan bulanannya kepada penjawat awam di Putrajaya, perdana menteri berkata pelarasan itu akan mengambil kira kesan kejatuhan harga minyak dan nilai ringgit sejak tahun lepas.

"Esok saya akan umumkan pengubahsuaian yang diperlukan, langkah pencegahan yang diperlukan dalam menghadapi senario yang memerlukan kita bertindak dengan proaktif.

"Ia penting bagi menjamin kadar pertumbuhan yang mampan, selain melindungi kepentingan dan kesejahteraan rakyat," kata Najib semasa menghadiri perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Putrajaya pagi ini.

Najib juga mengakui lanskap ekonomi negara terjejas susulan kejatuhan ringgit dan kejatuhan harga minyak dunia.

"Kita sudah lihat lanskap ekonomi dunia berubah dengan mengejut sekali ekoran terjunamnya harga minyak sebanyak 60%, ia sudah tentu bawa implikasi kepada ekonomi dunia dan Malaysia juga terkena.

"Oleh sebab itu, mengambilkira faktor harga minyak, apa kesan kepada ekonomi negara, apa impak kepada hasil negara, bagaimana ia boleh bawa kesan kepada dasar dan matlamat pengurangan fiskal, soal nilai ringgit dan sebagainya, perkara ini kita perlu hadapi dengan pendekatan tepat, berhemah dan kebijaksanaan," katanya.

Pada 1 Januari lalu, Putrajaya mengumumkan harga baru runcit bahan api, RON95 ditetapkan pada RM1.91 seliter, RON97 pada RM2.11 seliter, manakala diesel berharga RM1.93 seliter dengan menggunakan kaedah Penetapan Harga Automatik (APM).

Sementara itu, syarikat penyumbang utama hasil kepada kerajaan, Petronas juga dijangka berkurangan tahun hadapan sekiranya harga minyak dunia terus turun di bawah AS$75 setong.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, tahun ini Petronas dijangka menyumbang sejumlah RM68 bilion kepada kerajaan dan dijangka jatuh kepada RM43 bilion, penurunan 37% bagi 2015 sekiranya harga minyak dunia terus jatuh.

Harga minyak mentah Brent terus menurun. Sehingga kini, ia menyusut sebanyak 53% daripada tahun lepas, yakni daripada purata AS$108 setong pada Januari 2014 kepada AS$51 secara purata bagi bulan Januari 2015.

Nilai ringgit kini merupakan matawang Asia yang paling lemah, ia menyusut kepada RM3.55 untuk setiap AS$1 daripada RM3.32 setahun yang lalu. Sejak Oktober 2014, ringgit menyusut hampir 8.3%.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .