Selepas pemberi maklumat Mejar Zaidi Ahmad diberhentikan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), PKR dan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 mahu tahu apa sudah dilakukan untuk menghukum pesalah sebenar – syarikat membekalkan dakwat kontroversi yang mudah dibersihkan, menyebabkan dakwaan keputusan pilihan raya umum pada Mei 2013 terjejas.
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli memberitahu The Malaysian Insider walaupun kontrak pembekalan dakwat itu diberikan kepada syarikat kroni kerajaan, pembekal terbabit sepatutnya menghantar produk yang betul.
“Walaupun syarikat yang membekalkan dakwat itu kroni (kepada Putrajaya), apa yang mereka boleh buat ialah sekurang-kurangnya memastikan dakwat itu kekal.
“Dan jika Mejar Zaidi dihukum hanya kerana menyatakan kebenaran, maka hukuman lebih berat atau keras perlu diberi kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap punca kepada keseluruhan kekecohan ini,” kata ahli Parlimen Pandan itu.
Rafizi yang juga setiausaha agung PKR mendedahkan di Parlimen tahun lalu, kontrak dakwat kekal itu diberikan kepada Mohamed Salleh Mohd Ali yang dikatakan ada kaitan dengan kepimpinan negara dan pegawai atasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, Integrated Challenger Malaysia Sdn Bhd, salah sebuah syarikat Salleh, bukan sahaja memperoleh kontrak membekalkan dakwat itu, tetapi juga membekalkan kemeja T dan topi untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Salleh, katanya pada masa itu, adalah seorang “pro” dalam menjalankan rundingan terus dengan kerajaan. Malah, dia turut memperoleh kontrak daripada Kementerian Pertahanan.
Wakil rakyat PKR itu terdahulu mendedahkan siasatannya menunjukkan kontrak membekalkan dakwat itu diberikan kepada syarikat milik warga Singapura yang tidak ada kepakaran dalam perkara itu.
Beliau juga mendedahkan syarikat itu tidak mempunyai modal untuk kerja itu dan bertemu dengan seorang ahli perniagaan Kampung Baru untuk mendapatkan pinjaman RM7 juta.
Rafizi kemudian mendesak keseluruhan kakitangan SPR meletakkan jawatan kerana orang awam sudah hilang keyakinan terhadapnya.
Rafizi berkata kepada The Malaysian Insider, pegawai SPR yang memilih Integrated Challenger sebagai pembekal dakwat itu patut diheret sama.
“Hingga hari ini, tidak ada sesiapa yang dipertanggungjawabkan atas segala yang berlaku. Tidak ada sesiapa dalam SPR diheret ke muka pengadilan atau dihukum kerana memilih syarikat terbabit untuk membekalkan dakwat itu,” katanya.
Katanya, susulan PRU13, SPR juga mengakui ia membuat kesilapan memesan dakwat itu yang tidak berkualiti.
“Oleh itu, saya tidak faham mengapa seseorang itu dihukum kerana menyatakan sesuatu yang benar, yang dikukuhkan lagi dengan ribuan laporan di seluruh negara mengenai dakwat itu.
“Sebaliknya, hukuman itu diberikan kepada Mejar Zaidi dan penyingkirannya daripada pasukan tentera memberi tanggapan seseorang akan dihukum kerana bercakap benar,” katanya.
Zaidi, 45, semalam diberhentikan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia selepas 26 tahun berkhidmat kerana melanggar dua perintah tetap: memberi kenyataan media tanpa mendapat kebenaran Kementerian Pertahanan, dan kerana membocorkan maklumat rahsia tanpa kebenaran Majlis Angkatan tentera.
Kandungan kenyataan medianya ialah dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya umum itu didapati mudah dibersihkan, dan mendakwa ia menjejaskan integriti pilihan raya itu.
“Sabitan dan hukuman yang ada dorongan politik itu, saya percaya, adalah untuk menghantar isyarat kepada orang awam jika anda bercakap benar dan meletakkan imej buruk kepada kerajaan memerintah, anda akan dihukum.
“Mejar Zaidi adalah salah seorang yang berani mencabar dan tampil ke depan bercakap benar,” katanya.
Bersih 2.0 turut mempersoalkan hakikat di sebalik usaha Zaidi, tiada tindakan diambil terhadap SPR hingga kini.
“Tiada sesiapa dari SPR dipertanggungjawabkan atas perkara yang memalukan ini. Tidak ada hasil daripada ratusan laporan polis yang dibuat terhadap SPR mengenai perkara ini kecuali satu, yang menyebabkan hukuman kepada pemberi maklumat, bukannya kepada pelaku kesalahan,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan semalam.
“Mejar Zaidi memainkan peranannya sebagai warganegara untuk membangkitkan skandal terbesar di antara banyak perkara yang tidak kena mencemari PRU13. Untuk itu, dia membayar dengan harga mahal, sementara Malaysia juga kehilangan tentera sejati,” katanya.
Bersih berkata, pihaknya “amat kecewa” dengan keputusan itu, dan menambah, anggota tentera itu hanya membuat laporan polis berhubung kegagalan dakwat kekal itu kerana dia tidak mahu pilihan raya umum tercemar.
“Bersih 2.0 tahu betapa komitednya Mejar Zaidi sebagai rakyat, ketua keluarga dan tentera. Secara tepatnya, kerana peribadinya, profesional dan komitmen kepada masyarakat menyebabkan dia membuat laporan polis itu ketika mengundi awal dalam PRU13.
“Dia juga mahu melindungi imej tentera daripada terkait dengan SPR – kerana baginya, mendiamkan perkara itu akan menyebabkan ia terbabit dalam sandiwara berterusan kepada rakyat,” katanya.
No comments: