Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sebuah institut menangani ketidaksamaan ekonomi dan sosial akan ditubuhkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menteri Pendidikan itu berkata, Institut Kemajuan, Pembangunan dan Inklusif Malaysia (Minda) itu akan berperanan menjalankan kajian khusus untuk menangani isu ketidaksaksamaan sosial dan ekonomi dengan memberikan penekanan kepada pembangunan ekonomi yang bersifat inklusif.
"Saya percaya pertumbuhan ekonomi sahaja tidak memadai untuk menjadikan Malaysia negara maju tanpa menyemai nilai-nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan keadilan sosial dalam masyarakat.
"Dalam konteks ini, jurang pendapatan yang masih wujud di negara kita perlu ditangani dengan berkesan untuk memastikan Malaysia terus kekal stabil dan harmoni," katanya di Majlis Perutusan Tahun Baru Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini.
Bagi mengelak kejadian banjir berulang pada masa depan, Muhyiddin mengumumkan penubuhan sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Negara yang memfokuskan kepada aspek pengurusan bencana.
Katanya, pusat berkenaan diberikan dana penyelidikan khas dalam bidang pengurusan bencana dan mitigasi banjir berjumlah RM20 juta yang boleh dipohon IPT melalui Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang.
"Saya mencadangkan universiti di negara kita memberi fokus kepada kajian mengenai pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari.
"Diharapkan hasil kajian yang bakal dilaksanakan dapat menyumbang kepada pemantapan pengurusan bencana di negara ini.
"Universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini digalakkan membuat kajian berimpak tinggi yang berfokus kepada pengurusan sumber alam, penghasilan teknologi hijau, penciptaan tenaga boleh dibaharui, seni bina mesra alam, hidrologi dan bidang lain yang berkaitan," katanya.
Muhyiddin berkata kos kerosakan di sekolah dan institusi pengajian tinggi di bawah kementerian itu dianggarkan berjumlah hampir RM500 juta.
Katanya, bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir pada masa depan, beliau menyarankan sekolah dan institusi pendidikan yang berada di kawasan mudah terdedah kepada bencana melakukan persiapan lebih awal.
"Semua peralatan yang berharga perlu disimpan di tempat yang lebih selamat supaya kita dapat mengurangkan jumlah kerugian akibat banjir.
"Saya juga berharap guru, pensyarah dan pegawai yang terjejas akibat banjir supaya tabah menghadapi ujian Tuhan. Usah patah semangat untuk kembali bertugas seperti biasa dan terus menabur bakti kepada anak bangsa.
"Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, tanpa pakaian seragam yang lengkap, perabot yang masih belum sempurna sekolah yang masih belum bersih sepenuhnya, mereka tetap hadir ke sekolah seperti biasa.
"Saya juga amat bersimpati dengan nasib ibu bapa yang terpaksa melalui keadaan yang sukar untuk memulakan kehidupan baharu selepas bencana banjir, dengan harta benda musnah, rumah rosak atau kehilangan tempat tinggal, dan pada masa perlu membuat persediaan untuk anak masuk sekolah," katanya.
sumber
No comments: