Hong Leong Investment Bank Research (HLIB) menjangkakan kerajaan akan mengekalkan sasaran defisit bajet pada 3% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan membuat kenyataan penuh mengenai penilaian semula kedudukan ekonomi semasa dan menyemak semula Bajet 2015 berikutan penurunan harga minyak mentah dan banjir besar yang melanda negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, minggu depan.
"Meskipun pemotongan perbelanjaan kerajaan tidak dapat dielak, kami melihatnya sebagai positif memandangkan ia akhirnya menunjukkan kerajaan berhadapan realiti dan bersedia berkongsi dengan pasaran mengenai strategi Bajet terkini berikutan kejatuhan ketara harga minyak," kata firma penyelidikan itu dalam notanya hari ini.
Secara keseluruhannya, HLIB berkata ia yakin kerajaan akan mengekalkan sasaran defisit bajet pada 3% KDNK dan mengambil kesempatan ini untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan kepada 4.5% ke 5.5% untuk 2015 berbanding unjuran 5% ke 6%s sebelumnya.
"Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK pada 4.8% untuk 2015," katanya dan menambah impak banjir ke atas Bajet dijangkakan minimum.
Selain peruntukan asal sebanyak RM1 bilion untuk mitigasi banjir, HLIB menjangkakan kerajaan akan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.5 bilion (0.6% daripada Bajet asal 2015), meliputi RM500 juta bantuan tunai kepada mangsa banjir dan RM1 bilion untuk kerja pembinaan semula.
sumber
No comments: