» » Gesa polis percepatkan siasatan 1MDB


Peralihan kerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Mohd Hazem Abdul Rahman dengan pengurus bank Arul Kanda Kandasamy dipercayai hanya titik permulaan kepada kesan laporan polis dibuat Umno terhadap syarikat pelaburan strategik negara itu, kata Tony Pua.

Setiausaha publisiti DAP itu berkata, pihaknya percaya 1MDB mendapat tekanan daripada laporan polis yang dibuat pemimpin Umno Pulau Pinang pada 13 Disember lalu terhadap salah urus dan kemungkinan wujudnya amalan rasuah dalam syarikat tersebut.

"Kami menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempercepatkan siasatannya sebelum semua rekod dihapuskan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arul semalam diumumkan sebagai presiden kumpulan dan pengarah eksekutif 1MDB menggantikan Hazem, sebagai langkah kajian semula strategi bagi memaksimumkan pulangannya, umum Pengerusi Lembaga Pengarag 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Hazem menyertai 1MDB pada 2012 sebagai ketua pegawai operasi.

Manakala Arul, 38, pakar pelaburan bank berpengalaman luas dalam kewangan berstruktur, kewangan korporat dan penyusunan semula pasaran termasuk London, Timur Tengah dan Malaysia.

Beliau merupakan naib presiden eksekutif dan ketua perbankan pelaburan Abu Dhabi Commercial Bank sebelum menyertai 1MDB.

Pua berkata, "peletakan jawatan" mengejut dan perlantikan Arul Kanda membuktikan ada sesuatu yang tidak kena dengan syarikat itu dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kenyataan pengerusi 1MDB jelas menunjukkan Hazem dipecat. Mungkin kerja beliau teruk atau gagal menguruskan syarikat yang 100% milik Kementerian Kewangan sehingga menyebabkan hutang RM42 bilion.

"Jika tidak kerana prestasi teruk 1MDB, kenapa perlu mengakui perlunya 'penilaian strategi' dan mencari 'kewangan alternatif' untuk 1MDB," soal Pua.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, lebih membimbangkan Hazem hanya menjadi CEO tidak kurang dua tahun, manakala CEO terdahulu Datuk Shahrol Halmi "disingkirkan" daripada kedudukannya pada 22 Mac 2013.

Katanya, dua CEO dalam tempoh 24 bulan membuktikan prestasi teruk dan wujudnya urusan perniagaan meragukan di sebalik syarikat yang terbeban dengan hutang yang banyak.

"'Pemecatan' Hazem dibuat kerana 1MDB tidak mampu membayar hutang tertunggak RM2 bilion yang tamat tempoh pada November 2014. Jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan hutang RM5.5 bilion yang dijadualkan dan distruktur semula pada November 2013," katanya.

Selain itu, Pua juga menggesa Najib yang juga menteri kewangan bersetuju supaya 1MDB diaudit oleh Ketua Audit Negara serta memberi keterangan di Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban penuh sepanjang pentadbirannya.

Pua dalam kenyataannya pada 30 November lalu menggesa Najib memecat pengerusi 1MDB serta pengurusan tertingginya ekoran pendedahan ketidakcekapan pembayaran komisyen sebanyak RM1.54 bilion kepada firma pelaburan Goldman Sachman.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .