» » Desak ketua polis jangan beri layanan istimewa pada dalang skandal 1MDB


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar digesa supaya tidak membiarkan mana-mana pihak yang terlibat dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terlepas daripada siasatan, kata Tony Pua.

Setiausaha publisiti DAP itu berkata, selepas 5 minggu laporan polis dibuat, Khalid sepatutnya sudah mula melakukan siasatan dengan mengambil kenyataan pengurusan atau pengarah 1MDB.

"Kami berharap isu ini tidak akan jadi seperti kes lain apabila kerajaan yang terlibat atau individu berkaitan Barisan Nasional (BN) mendapat layanan istimewa dengan Tiada Tindakan Selanjutnya (NFA)," katanya.

Pua berkata, pihaknya kecewa sehingga kini polis masih berdiam diri terhadap 1MDB, sebaliknya mengalihkan pandangan terhadap Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen yang menyiarkan Twitter berbaur hasutan sehingga mendapat perhatian istimewa daripada Khalid.

"Memandangkan dakwaan yang serius melibatkan hutang RM42 juta yang dikumpulkan dalam tempoh 5 tahun dan melibatkan ekonomi negara, amat penting untuk memastikan sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan siasatannya terhadap syarikat itu," katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu menjalankan siasatan terhadap laporan yang dikemukakan pemimpin Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan terhadap bayaran faedah yang lebih tinggi daripada kadar biasa bagi bon 1MDB serta lebihan 10% komisyen, yuran dan caj yang dibayar kepada Goldman Sachs International bagi meningkatkan pinjaman AS$6.5 bilion.

Katanya, pada masa sama pihaknya berharap Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa menjalan siasatan bagi memastikan dalang di sebalik skandal 1MDB dan dikenal pasti dan didakwa.

"Dengan cara ini, Arul dapat memulakan tempoh pentadbirannya dengan rekod yang bersih, tanpa dicemari atau dikompromi sebarang aktiviti masa lalu 1MDB yang mencurigakan," katanya.

Semalam, Khairuddin yang juga naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan membuat laporan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, meminta badan anti rasuah itu meneliti laporan dakwaan salah urus syarikat serta keadaan kewangan 1MDB yang menjadi perhatian sejak kebelakangan ini.

"Sebagai pembayar cukai dan seorang warganegara Malaysia, saya amat bimbang dan ragu mengenai ketelusan pentadbirannya tentang kewangan syarikat itu, yang mengumpul hutang sebanyak RM41.9 juta," katanya.

Khairuddin pada 13 Disember tahun lalu membuat laporan polis terhadap 1MDB, meminta siasatan terperinci dan menyeluruh dilakukan termasuk pengarah dan wakil daripada syarikat lain yang mungkin terlibat dalam skandal 1MDB.

1MDB dilanda kontroversi berhubung hutangnya yang mencecah RM42 bilion serta pengurusan AS$2.32 bilion "dana berasingan" di Pulau Cayman yang dipersoalkan banyak pihak termasuk pembangkang dan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .