» » BR1M tidak membantu golongan miskin di Malaysia sebenarnya


Dalam konteks harga minyak dunia terus jatuh dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bakal dilaksanakan, ekonomi negara akan menjadi merundum, dan kemudahancaman (vulnerability) isi rumah miskin atau di pinggir kemiskinan sudah pasti akan meningkat.

Ini termasuk risiko hilang pekerjaan dan beban hutang melambung tinggi yang membolehkan sesebuah isi rumah kembali ke kancah kemiskinan.

Kajian terbaru Institut Rakyat mengenai program bantuan tunai langsung (cash transfer) cuba menjawab sejauh mana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dapat membantu isi rumah miskin keluar daripada kemiskinan khususnya dalam keadaan ekonomi merundum.

Kajian ini membandingkan objektif program bantuan tunai langsung di lima negara: “Bolsa Familia” di Brazil, “Oportunidades” di Mexico dan Skim Jamin Kerja Maharashtra di India, Program Bantuan Tunai Langsung di Indonesia dan BR1M di Malaysia.

Institut Rakyat mendapati program bantuan tunai langsung yang bersifat transformatif akan memperbaiki kehidupan mereka yang susah atau mengeluarkan golongan itu daripada kemiskinan dengan objektif spesifik.

Bantuan tunai langsung yang bersifat non-transformatif pula hanya memberi bantuan tunai sebagai satu “pampasan” bagi pengurangan subsidi bahan api, bukannya untuk mengurangkan kemiskinan.

Kebergantungan
Sebaliknya, ia akan mewujudkan kebergantungan dan eksploitasi politik.

Antara lima program tersebut, Bolsa Familia, Oportunidades dan Skim Jamin Kerja Maharashtra adalah bersyarat dan bersifat transformatif, manakala Program Bantuan Tunai Langsung dan BR1M tidak bersyarat dan non-transformatif.

Bolsa Familia, Oportunidades dan Skim Jamin Kerja Maharashtra adalah transformatif kerana meletakkan syarat yang perlu dipenuhi oleh penerima bagi mengubah kehidupan mereka seperti kehadiran sekolah bagi kanak-kanak, lawatan ke klinik mengikut jadual yang ditetapkan bagi kanak-kanak, dan jaminan kerja 100 hari bekerja.

Berbeza dengan Bolsa Familia dan Oportunidades, Program Bantuan Tunai Langsung di Indonesia tidak meletakkan sebarang syarat untuk memperbaiki kehidupan isi rumah, sebaliknya ia bertujuan “menentang” kemiskinan akibat kenaikan harga minyak, bukannya mengurangkan kemiskinan.

BR1M bertitik tolak daripada asas yang sama dengan Program Bantuan Tunai Langsung di Indonesia, iaitu proses kerajaan menyusun semula pemberian subsidi agar ia sampai terus kepada golongan sasar.

Meskipun secara purata BR1M membawa kepada pertambahan pendapatan sebanyak RM79.17 sebulan, namun isi rumah masih perlu berhadapan dengan realiti kenaikan harga barang, tiada aset kewangan dan hutang isi rumah yang tinggi.

Sesungguhnya, program pembasmian kemiskinan yang berkesan sewajarnya bersifat transformatif dan berpaksikan konsep “keluar daripada kemiskinan” atau graduation dengan membangunkan kelas menengah, bukannya mewujudkan lebih banyak lagi program atau lebih ramai penerima.


- GINIE LIM merupakan penolong pengarah penyelidik Institut Rakyat -

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .