» » BASARNAS kesan objek dipercayai ekor Air Asia QZ8501


Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) mengesan satu lagi objek besar di dasar laut yang dipercayai ekor pesawat malang AirAsia QZ8501, pagi tadi.

Ketua Basarnas Bambang Soelistyo berkata objek itu dikesan pada jam 10.30 pagi ini dan ia dipercayai bahagian ekor pesawat kerana tertera perkataan 'Air'.

Katanya pasukan SAR itu yakin operasi mencari mayat dan bangkai pesawat AirAsia yang memasuki hari ke-11 pada hari ini berjalan lancar ekoran keadaan cuaca yang dilaporkan sangat baik di kawasan operasi di perairan berhampiran Pangkalan Bun di Kalimantan Tengah.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi TVOne di sini, dan ketika ini pasukan penyelam sedang berusaha menghampiri objek berkenaan.

Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dikendalikan Basarnas disertai beberapa negara termasuk Malaysia, membabitkan tiga kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), menemui 40 mayat.

Daripada jumlah itu, sebanyak 16 mayat mangsa nahas terbabit telah dikenal pasti dan diserahkan kepada anggota keluarga masing-masing.

Usaha mencari mayat dilaporkan sukar kerana dipercayai dibawa arus yang deras dan operasi SAR juga sering terganggu akibat cuaca buruk dengan ombak yang tinggi.

Pihak berkuasa juga percaya terdapat mayat dalam badan pesawat yang tenggelam dalam dasar laut itu tetapi pasukan penyelam tidak dapat meneruskan operasi beberapa hari sebelum ini kerana arus bawah laut yang deras dan diliputi selut yang tebal.

Bambang berkata, pasukannya juga sedang memberi fokus mencari kotak hitam yang dipercayai berada dalam bangkai pesawat terbabit.

"Kita juga sedang fokus mencari objek di bawah air dengan menggunakan sistem bagi mencari kotak hitam," katanya.

Penerbangan QZ8501 yang menggunakan pesawat Airbus A320-200 membawa 162 penumpang dan anak kapal, berlepas dari Surabaya, Indonesia, pada jam 5.20 pagi Ahad dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada jam 8.30 pagi hari sama.

Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).

Penumpang dan anak kapal dalam pesawat itu terdiri daripada 155 warga Indonesia, tiga warga Korea Selatan dan masing-masing seorang warga Singapura, Malaysia, United Kingdom dan Perancis.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .