Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia mengesahkan tiada sebarang penemuan bangkai pesawat dapat dikesan oleh peralatan sonar di lokasi pencarian AirAsia QZ8501 setakat ini.
Menurut Detiknews, pemancar sonar itu masih lagi dalam pencarian mengesan bangkai pesawat melalui laluan yang sama berdasarkan penemuan mayat dan objek terapung di perairan Pangkalan Bun.
"Belum lagi ditemui, masih mencari," kata Timbalan Operasi Basarnas Mayjen TNI Tatang Zaenuddin.
Penyelam, kapal dan pesawat memulakan pencarian baru hari ini, selepas menemui petanda pertama serpihan daripada QZ8501 semalam.
Pencari semalam turut menemui “bayang” seperti pesawat di dasar laut dan kini menggandakan usaha mengesannya sekali lagi selepas terhalang arus deras semalam.
Peralatan sonar diturunkan ke dasar laut, kata CNN memetik Pengarah Operasi Basarnas SB Supriyadi sebagai berkata.
Pada masa sama, Tatang menasihati semua pihak berhati-hati dalam melaporkan berita berkaitan penemuan bangkai pesawat itu agar tidak menyinggung perasaan ahli keluarga mangsa.
"Kalau badan pesawat ditemukan, kemudian keluarga akan berharap semua mangsa sudah ditemui," katanya.
Ditanya sejauh mana peluang menemukan penumpang terselamat di kalangan mangsa nahas tersebut, katanya ia merupakan kehendak Allah.
"Mudah-mudahan, semua kehendak Allah," katanya sambil meminta agar semua masyarakat menghulurkan doa dan sokongan.
Pesawat jenis Airbus 320-200 itu dipercayai terhempas ke dalam Laut Jawa pada pagi Ahad selepas terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Jakarta kerana mengalami cuaca buruk.
Ia dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura, membawa 162 penumpang termasuk tujuh anak kapal.
sumber




No comments: