» » Australia bebaskan Sirul Azhar


Salah seorang pembunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu yang ditahan pihak berkuasa Australia, bekas Korporal Sirul Azhar Umar dibebaskan dengan bersyarat, lapor Berita Harian hari ini.

Sirul yang melarikan diri ke negara itu dan tidak hadir ketika Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya diberikan kad khas membolehkannya bergerak bebas, tetapi pasportnya dirampas.

Berita Harian melaporkan perkara itu disahkan oleh sumber dari Wisma Putra.

"Setakat ini dokumen perjalanannya diambil oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

"Tetapi dia dibebaskan selepas pihak imigresen Australia memberikan kad dengan syarat tertentu yang membolehkan dia bebas bergerak di sana," kata sumber itu seperti dilaporkan Berita Harian.

Sirul ditahan Jabatan Imigresen Australia pada Selasa lalu selepas Interpol mengeluarkan notis merah ke atasnya.

Sirul dan Ketua Inspektor Azilah Hadri didakwa membunuh Altantuya pada 2006 dan disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul dan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.

Namun pada 13 Januari lepas, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul dan Azilah, dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas mereka.

Bagaimanapun, Sirul tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu dipercayai berada di Australia apabila dia sendiri mendakwa kekurangan wang untuk pulang ke Malaysia.

Susulan itu, Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

‎Selain itu sumber Wisma Putra turut berkata, ‎meskipun bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu dibebaskan namun Sirul masih lagi berada di bawah pengawasan pihak berkuasa di sana.

Pada masa sama, menurut Berita Harian sumber rasmi Wisma Putra berkata Malaysia dan Australia masih lagi dalam proses perundingan bagi mendapatkan Sirul dan peranan itu bakal diambil alih Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .