» » '1MDB mungkin gagal bayar hutang jangka pendek RM3.6 bilion'


1Malaysia Development Bhd (1MDB) dijangka berdepan satu lagi masalah kewangan selepas dilaporkan mengambil hutang AS$1 bilion (bersamaan RM3.6 bilion) dari konsortium 6 bank pada Oktober tahun lalu, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli hari ini.

Selepas 1MDB dilaporkan baru-baru ini terpaksa mengambil hutang baru dari hartawan T. Ananda Krishnan untuk membayar hutang RM2 bilion Malayan Banking Bhd (Maybank) dan RHB Bank Bhd, Rafizi mendedahkan laporan terbaru majalah kewangan antarabangsa International Financing Review (IFR) mengenai syarikat itu.

"Kolumnis (IFR) Jonathan Rogers mengesahkan 1MDB mengambil satu lagi hutang jangka pendek berjumlah AS$1 bilion dari konsortium 6 bank yang diketuai Deutsche Bank yang perlu dibayar balik menjelang September 2015.

"Hutang AS$1 bilion ini dilaporkan diambil 1MDB dalam bulan Oktober 2014 iaitu di tengah-tengah kemelut hutang 1MDB mula mendapat perhatian umum," kata ahli Parlimen Pandan itu dalam satu kenyataan.

Katanya, masalah aliran tunai yang dihadapi syarikat pelaburan negara itu akan menjadi lebih parah tahun ini kerana 1MDB mengambil beberapa hutang jangka pendek bagi memenuhi komitmen bayaran hutang-hutang lain.

"Lebih membimbangkan, hutang AS$1 bilion (yang nilai dalam ringgit akan terus meningkat akibat kejatuhan matawang ringgit) ini diambil dengan syarat ia akan dibayar dalam bulan September 2015 menggunakan dana yang dikumpul dari penyenaraian aset penjana bebas (IPP) 1MDB yang sehingga sekarang terus bermasalah," kata Rafizi.

Naib Presiden PKR itu berkata, proses penyenaraian tersebut kini terus tertangguh dan dijangka akan menghadapi masalah berterusan kerana kelewatan projek IPP Jimah Timur dan kredibiliti kewangan 1MDB yang terus merudum.

"Tanpa projek IPP Jimah Timur dan dengan masalah keberhutangan 1MDB, dijangka sebarang penyenaraian melibatkan 1MDB tidak akan menarik minat pelabur," katanya.

Jika hutang RM2 bilion kepada Maybank dan RHB menyebabkan 1MDB terpaksa menjual aset dan kepentingan kepada Ananda, Rafizi bertanya aset mana pula yang akan dijual 1MDB bagi membayar hutang AS$1 bilion itu kelak.

Beliau mengatakan pendedahan itu juga menimbulkan persoalan, jika benar dana dari Pulau Cayman sudah dibawa pulang ke Malaysia, kenapa 1MDB tidak mempunyai dana untuk membayar hutang-hutang itu.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .