Pihak tentera akan membuat percubaan ketiga pagi ini untuk menghantar bantuan kepada penduduk yang terperangkap di sebuah bukit di Kuala Krai akibat banjir terburuk yang berlaku di Kelantan.
Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dalam satu kenyataannya berkata, pihak bomba cuba menghantar bantuan ke kawasan itu malam tadi tetapi tidak diketahui setakat mana kejayaannya sehingga kini.
"Berdasarkan kedudukan yang kritikal pada waktu ini, jika sekiranya hujan esok hari, pihak Majlis Keselamatan Negara harus menggerakkan lebih banyak jentera dan tenaga bantuan di kawasan kawasan kritikal, apa lagi kemudahan perhubungan utama antara Kelantan dan negeri lain sudah terputus," kata Husam dalam satu kenyataannya pagi ini.
Sehingga kini, katanya, kemudahan bot bomba yang lebih besar umpamanya tidak dapat di hantar ke Kelantan.
Ratusan penduduk dikatakan terperangkap di sebuah bukit di sekitar Aring 3, Kuala Krai apabila semua kawasan sekitarnya ditenggelami air dan mereka lari ke bukit itu.
Mereka terpaksa mendirikan khemah dan menggunakan apa saja yang ada untuk berlindung dengan bekalan makanan dan kemudahan lain yang amat terhad.
Perhubungan melalui telefon dikatakan sudah terputus dipercayai selepas bateri telefon masing-masing sudah habis selepas sekian lama terperangkap di situ.
Husam yang baru selesai melawat bilik gerakan banjir negeri Kelantan di Kota Darulnaim malam tadi berkata, paras air di sungai utama di seluruh Kelantan menunjukkan peningkatan ketara.
"Ini meningkatkan kedudukan kritikal di beberapa jajahan seperti Kuala Krai yang sudah sedia kritikal," kata beliau yang juga Adun Salor dalam kenyataan itu.
Namun begitu, beliau bersyukur hujan pada waktu ini berhenti di seluruh negeri.
Husam berkata, beliau menghubungi Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali supaya dapat mengirim sumbangan tanda solidarati.
"Alhamdulillah kerajaan Selangor bersetuju dan jumlah bantuan mungkin diumumkan sehari dua ini," kata beliau.
Beliau juga cuba menghubungi Ketua Menteri Pulang Pinang Lim Guan Eng bagi tujuan yang sama tapi beliau masih berada di luar negara.
"Mohon rakyat Malaysia kirimkan bantuan dan doa," kata Husam.
Menurut saksi, banjir kali ini bermula di sepanjang Sungai Kelantan yang bermula di hulunya iaitu di Gua Musang.
Ia mula melanda kawasan sepanjang saliran sungai itu dan menyebabkan Kuala Krai dan Tanah Merah dilanda banjir luar biasa. Kini ia mula memasuki jajahan Kota Baru yang terletak di kuala.
"Banjir ini warnanya merah pekat yang luar biasa dengan membawa lumpur. Saya yakin faktor penggondolan hutan di hulu sana antara puncanya," kata Zainal Abdin Hussein, seorang kakitangan kerajaan negeri di Kota Baru.
sumber




No comments: