Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) akan menaikkan tambang bas sekolah sebanyak 40% mulai 1 Januari 2014 jika Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak mengumumkan kenaikan kadar baru sehingga hujung tahun ini.
Presiden PPPBSM, Amali Munif Rahmat berkata, ini kerana lebih 10,000 bas sekolah yang berada di bawah persekutuan itu sudah tidak dapat menampung peningkatan kos operasi dan sekiranya perkhidmatan diteruskan mereka akan menanggung rugi.
Pada 26 November lalu, pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pihaknya akan memperhalusi permohonan tersebut kerana setiap keputusan yang akan diambil adalah melihat kepada kepentingan semua pihak.
Syed Hamid berkata, tidak semudah itu untuk pihaknya meluluskan kenaikan tambang bas sekolah kerana jumlah yang diminta bukan kecil serta mungkin tidak dipersetujui pihak lain dan pengusaha bas sekolah sebelum ini mengenakan bayaran kepada pelanggan mereka lebih daripada apa yang telah dipersetujui bersama SPAD.
Kata Syed Hamid lagi, mereka berani melakukan perkara tersebut kerana tahu perkhidmatan bas sekolah merupakan satu keperluan setiap ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah dan keadaan itu membuatkannya tidak ada pilihan lain.
Amali Munif berkata, PPPBSM dimaklumkan pihak SPAD bahawa permohonan sebelum ini masih dalam peringkat kajian dan sekiranya kadar 40 peratus itu tidak diluluskan berkemungkinan banyak pengusaha bas akan menghentikan operasinya.
Selain masalah itu katanya, PPPBSM juga berdepan dengan syarat yang ditetapkan kerajaan supaya bas sekolah melebihi usia 30 tahun tidak dibenarkan lagi beroperasi atas faktor keselamatan.
Beliau memberitahu, terdapat 3,000 bas di bawah PPPBSM sudah melebihi usia 30 tahun dan walapun dalam bajet 2013 kerajaan meluluskan skim penggantian bas sekolah SPAD melalui pemberian rebat RM10,000, tawaran itu tidak dapat menyelesaikan masalah.
Menurutnya, klasifisasi bas melebihi 30 tahun sudah tidak selamat digunakan agak kurang tepat kerana keadaan bas sekolah bergantung penggunaan, penyelenggaraan dan model kenderaan itu.
sumber
No comments: