Anggota parlimen Ipoh Barat MP M Kulasegaran membangkitkan persoalan sama ada subsidi harga minyak akan dikembalikan jika harga minyak kembali meningkat.
Beliau membangkitkan perkara itu setelah kerajaan tidak lagi memberikan subsidi ekoran pengenalan kaedah pengapungan terkawal ketika harga minyak dunia jatuh.
“Harga minyak dunia hanya menunggu masa untuk naik dan tanpa subsidi kerajaan, harga RON95 dan diesel akan naik bawah sistem pengapungan terkawal.
“Kerajaan justeru harus berjanji, apabila harga minyak naik, subsidi mesti diperkenal semula supaya rakyat tidak terbeban,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Harga runcit RON97 turun sembilan sen seliter kepada RM2.46 seliter dan harga runcit RON95 turun empat sen seliter kepada RM2.26 seliter, selepas 12 tengah malam tadi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata kerajaan mengikuti perkembangan pasaran dan kadar tukaran matawang untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel bagi bulan-bulan berikutnya.
Penetapan harga baru itu ekoran pengumuman kerajaan pada 21 November lalu bahawa penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengampunan terkawal mulai hari ini.
Kaedah itu seperti pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 sejak Julai 2010.
Melalui kaedah itu, purata perubahan kos produk akan menentukan penetapan harga bagi bulan berikutnya.
sumber
No comments: