Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan bagi menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) susulan laporan polis yang dibuat Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, tindakan Khairuddin itu berunsur peribadi dan tidak melibatkan parti Melayu itu.
"Saya sifatkan ianya laporan peribadi orang berkenaan, 1MDB ialah syarikat 'off-budget agency' (OBA), ia dikendalikan mengikut garis panduan OBA.
"Laporan polis dibuat, jadi, polis akan buka kertas siasatan dan melakukan seperti prosedur siasatan biasa," katanya selepas merasmikan Persidangan PJP/KP/Komander dan Komanden PDRM di Kuala Lumpur, hari ini.
Khairuddin sebelum ini menggesa satu siasatan dijalankan terhadap seluruh kakitangan pentadbiran dana kekayaan negara itu yang terlibat dalam transaksi yang meragukan.
Beliau berkata, urus niaga syarikat itu amat merisaukan kerana ia melibatkan jumlah wang yang cukup besar.
Khairuddin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Jumaat lalu.
"Ia merisaukan kita kerana urus tadbir dana 1MDB ini mencakupi jumlah kewangan yang cukup besar.
"Kalau kita lihat, tiga mantan menteri kewangan meluahkan rasa risau mereka terhadap urus tadbir wang 1MDB," katanya.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan turut menggesa Khairuddin menarik balik laporan polisnya.
Katanya, tindakan Khairuddin bukan pendirian parti dan juga Umno Pulau Pinang.
"Ini masalah ahli Umno yang tidak memahami perjuangan parti. Kita tidak boleh mendengar apa-apa saja cerita daripada laman web, Internet atau media sosial," beliau dipetik sebagai berkata.
"Janganlah kita terpengaruh dengan persepsi tidak diingini yang datang daripada pembangkang. Beliau membuat laporan polis, saya tak faham,” katanya.
Beliau menasihati ahli Umno yang lain berbincang dan mengemukakan sebarang persoalan dalam parti jika mempunyai sebarang masalah dan tidak mendengar kepada pembangkang kerana ia hanya akan mengundang masalah.
Khairuddin bagaimanapun tetap dengan pendiriannya untuk tidak berganjak serta tidak akan menarik balik laporan polis yang dibuatnya.
No comments: