» » 'Pengguna di Malaysia diancam sistem kapitalis yang menggila'


Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang sebelum ini menjadi juara isu halal haram Cadbury kini melihat sistem kapitalis yang hanya menguntungkan peniaga mengancam pengguna dalam negara, di mana kebanyakan orang ramai ditindas akibat ketidakadilan.

Ketika negara ke arah status negara maju, muncul juga lebih banyak institusi kewangan yang sah dan haram dalam memberikan pinjaman menyebabkan PPIM tampil membela pengguna.

Walaupun tujuan penubuhan PPIM pada awalnya melindungi pengguna, pada masa sama mereka juga dalam proses penyusunan semula bagi menghadapi masalah yang lebih kompleks masyarakat hari ini.

Bercakap kepada The Malaysian Insider, Ketua Biro Kewangan PPIM Sheikh Abd Kareem S Khadaied berkata pertubuhan bukan kerajaan tersebut kini dalam proses penyusunan semula.

"Buat ketika ini kita dalam proses penjenamaan dan penyusunan semula organisasi," katanya.

PPIM juga berkembang sejak penubuhan pada 1997, mereka kini memiliki sekurang-kurangnya 8 biro yang mengambil peranan melihat dan memantau isu dihadapi pengguna.

Pada awalnya fokus tertumpu hanya kepada isu kepentingan pengguna, bagaimanapun kini mereka memiliki unit yang menyemak polisi bank di samping menangani isu melibatkan perundangan.

Menjelaskan mengenai tugas dan tanggungjawab PPIM, beliau yang juga salah seorang aktivis PPIM yang aktif berkata tumpuan diberikan kepada dua perkara, mikro dan makro.

Bagi mikro, Sheikh Abd Kareem berkata ia melibatkan penyelesaian masalah secara individu menerusi aduan yang diterima, manakala makro pula melibatkan penyelesaian peringkat nasional dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan berkaitan.

"Daripada segi isu mikro, sebagai contoh kita lihat isu Ah Long, kita buat kerja selesaikan masalah individu dan kita juga ada usaha selesaikan di peringkat nasional di mana kerja di peringkat atasan.

"Kita jalin kerjasama dengan pihak berkuasa seperti dalam isu judi haram, kita ada bekerjasama dengan agensi seperti bank," katanya.

Walaupun dengan peralihan ini, PPIM tetap meneruskan matlamat asal penubuhan mereka khususnya melibatkan isu kepenggunaan lain.

Mengambil contoh isu baru-baru ini membabitkan DNA babi dalam coklat Cadburry, PPIM antara yang lantang mengecam dan mengkritik pengeluar terbabit.

Presiden PPIM Datuk Nadzim Johan berkata mereka sebagai kumpulan pendesak mewakili pengguna di mana sebarang isu yang menjejaskan hak dan kepentingan pengguna akan diperjuangkan.

"Kami kumpulan yang membela hak dan melindungi kepentingan pengguna, apa saja perkara menjejaskan pengguna juga menjadi tanggungjawab kami," kata Nadzim.

Antara program dan aktiviti yang diadakan PPIM ialah seminar kebangsaan dua kali setahun dan klinik pengguna setiap bulan.

Kebanyakan seminar dan klinik yang diadakan melibatkan aktivis dalam pertubuhan itu selain penyertaan NGO lain serta orang biasa.

Selain itu, PPIM juga mewujudkan anugerah yang dinamakan "Anugerah Kambing" dan ia diberikan kepada syarikat yang menindas pengguna.

Pemberian anugerah tersebut bagi memberi pengajaran kepada mereka tidak bertanggungjawab yang menindas pengguna.

Sementara itu, ketua biro latihannya, Dr Izham Nayan yang bertanggungjawab mengendalikan aktiviti kesedaran kepada pengguna berkata PPIM memperoleh dana menerusi tajaan agensi atau syarikat tertentu dalam mengadakan aktiviti dan bukan secara langsung daripada kerajaan.

"Sumber dana pertama daripada dua individu, iaitu presiden sendiri dan juga Datuk Dr Ma'amor Osman di mana kedua-dua individu ini orang penting dalam PPIM.

"Selepas suara kita didengar, kemudian kita diminta mengadakan aktiviti, jadi kami bergantung kepada program dan aktiviti yang ditaja. Daripada program tersebut, yuran mereka yang hadir digunakan untuk bantu dalam operasi PPIM," katanya.

Izham berkata masalah dihadapi pengguna kini lebih luas dan berbeza berbanding dulu, bukan saja melibatkan isu halal dan haram barang keperluan, sebagai contoh barang yang diseludup secara haram.

Izham berkata, peranan PPIM amat penting dalam menangani isu kepenggunaan dan menyedarkan tentang produk yang mereka gunakan.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .