Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, kegagalan orang Melayu disebabkan tidak berpegang kepada al-Quran.
Katanya, sikap amanah mengikut panduan al-Quran perlu untuk meningkatkan kualiti pengurusan supaya tidak mencuri, mengamalkan rasuah atau menyalah guna kuasa jika menjadi pemimpin.
"Ada kuasa bukan untuk dia perjuang untuk kepentingan diri, tetapi mesti ikut kehendak rakyat.
"Dia tidak mengamalkan kehendak sebenar kuasa itu diberikan, dan salah guna kuasa untuk korup dan dapat sesuatu.
"Maka dia tidak menjadikan al-Quran (sebagai panduan)," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Pengurusan Kualiti Islam (i-QAM) anjuran Universiti Utara Malaysia di Hotel Everly di Putrajaya.
Menurutnya lagi, kedudukan Islam di seluruh dunia "tidak sempurna dan ditekan" disebabkan sikap lebih berpandu kepada pendapat dan kitab-kitab agama melebihi al-Quran sendiri.
Cita-cita 'khalifah'
Katanya, umat Islam tidak mengutamakan al-Quran walaupun banyak menghafal ayat-ayatnya.
"Tetapi (bila) dengar apa yang dicakapkan oleh pemimpin, ulama terkenal, sehingga apa yang disarankan oleh mereka (walaupun) bertentangan dengan Islam, kita anggap (boleh) terima.
"Islam tidak jadi cara hidup, utamakan pemimpin yang sarankan satu pendapat yang bertentangan dengan Islam, kita masih ikut pemimpin," katanya.
Memberi contoh, Mahathir berkata, ada segelintir umat Islam terpengaruh dengan cita-cita pemimpin kumpulan bersenjata Negara Islam (IS) untuk menjadi “khalifah” dan sanggup menumpahkan darah sesama Islam.
"Dalam al-Quran, orang Islam itu bersaudara. Dilarang membunuh sesama Islam, tapi kita buat.
"Pemimpin ini kata, mereka bukan orang Islam, maka harus dibunuh, maka pergilah (orang Malaysia) menolong untuk membunuh. Benarkah ini Islam dan cara hidup Islam?" kata Dr Mahathir.
sumber
No comments: