Nasib Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang membuat laporan polis terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan ditentukan minggu depan apabila Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang bermesyuarat.
Setiausahanya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata Umno Bahagian Batu Kawan akan membawa usul berkaitan Khairuddin dalam mesyuarat itu, lapor akhbar Umno hari ini.
Menurutnya, Umno negeri juga perlu menjalankan siasatan rapi terhadap Khairuddin sebelum mengambil sebarang tindakan atau menghukumnya berdasarkan perlembagaan parti.
“Kita akan panggil mesyuarat pada Januari ini untuk membincangkan isu Khairuddin dan saya percaya Umno Bahagian Batu Kawan akan membawa usul berkaitan tindakan terhadap Khairuddin itu.
“Dalam mesyuarat itu juga kita akan bincang sebarang tindakan yang boleh diambil berdasarkan perlembagaan Umno kerana perkara itu perlu disiasat sedalam-dalamnya,” katanya.
Selain membuat laporan polis terhadap 1MDB yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak, Khairuddin juga menimbulkan polemik apabila kenyataannya yang disiarkan portal berita mendakwa pemimpin Umno negeri “tidur” serta berbeza dengan pakatan pembangkang yang begitu serius melaksanakan pelbagai gerak kerja selepas Pilihan Raya Umum ke-13.
Ekoran itu, Pergerakan Pemuda Umno negeri yang mahu pimpinan Umno Pulau Pinang mengambil tindakan segera terhadap Khairuddin yang menggunakan portal pro pembangkang untuk menyerang Umno negeri dengan pelbagai tohmahan.
Sebelum ini, Khairuddin memaklumkan kepada media, beliau berjumpa dengan Datuk Tengku Adnan Mansor, setiausaha agung Umno setelah dipanggil.
Dalam pertemuan itu, Khairudin dinasihatkan agar menarik balik laporan polis tetapi enggan berbuat demikian.
Selain beliau, 1MDB mendapat kritikan pedas daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan penyokong beliau melalui blog masing-masing.
sumber
No comments: