» » Malang betul menjadi orang Melayu di Malaysia ini


Ada ramai di kalangan kawan-kawan, yang bukan dari Melayu-Islam, mengatakan bahawa negara ini negara Melayu-Islam, dan sangat malang bagi mereka yang bukan dari kaum tersebut.

Saya menolak pandangan itu, saya merasakan, dengan menjadi Melayu-Islam di negara ini adalah perkara yang paling malang.

Ya, dari segi banyak benda – masuk universiti pun peluang lebih banyak diberikan kepada Melayu, beli rumah pun Melayu boleh dapat lagi murah, tapi, saya merasakan menjadi Melayu ni adalah perkara paling malang.

Perkara pertama tentang betapa malangnya menjadi Melayu ialah kewujudan parti yang membelenggu kehidupan orang Melayu, iaitu parti Umno.

Kewujudan parti ini ialah perkara yang semalang-malangnya yang menimpa orang Melayu.

Sejak kewujudan parti ini dari 1946, kemudian merdeka 11 tahun kemudian, parti ini sahajalah yang seolah-olah diberi autoriti untuk mengatakan “apa yang patut apa yang tak patut” dilakukan oleh seorang Melayu.

Seolah-olah nasib seluruh bangsa Melayu ini hanya boleh ditentukan oleh presiden parti ini, jangan lawan cakap atau padah jawabnya.

Jika mana-mana Melayu melawan parti ini, dia akan dianggap pengkhianat Melayu kerana melawan “parti keramat yang membela nasib Melayu”, kononnya.

Cuba kita lihat apabila rumah Makcik Wahida di Kampung Chubadak diruntuhkan, tanahnya dirampas, anak-anak muda tak kira bangsa bangkit melawan untuk menentang penjarah dan perampas tanah.

Di mana “parti keramat” bernama Umno ini semasa seorang wanita tua di Kampung Chubadak ini sedang berjuang untuk mempertahankan rumah dan tanahnya yang dirobohkan pemaju?

Malang kedua menjadi seorang Melayu ialah apabila budaya feudal kita yang kuat berakar sehingga kita jadi takut untuk lawan pemerintah, dan segala-galanya takut.

Berbanding bangsa lain, bangsa Melayu ini mengenal sistem ekonomi moden apabila penjajah datang menjajah negara ini. Bermula dari Portugis pada 1511 hingga merdeka 1957 (walaupun kita kini di era empayar Pax-Americana, maknanya seluruh dijajah Amerika Syarikat pada hemah saya), berbanding bangsa lain, seperti Cina dan India yang mempunyai ketamadunan beribu tahun, bangsa Melayu tidak mempunyai pengalaman seperti dua bangsa tersebut.

Bertambah malang lagi, apabila budaya feudal yang takut dan mengampu melingkari susur galur sosio-politik-ekonomi budaya bangsa Melayu, kita cuma angguk-angguk, geleng-geleng apabila pemimpin kita kata ya atau tidak, tanpa memikirkan kerosakan yang bakal berlaku.

Budaya berfikir dibantutkan lagi dengan ketakutan yang sangat ditekankan dalam feudalisme ini.

Dan barangsiapa menentang, dia terus dicantas dan dibuang.

Dalam cerita hikayat Melayu, ada bercerita tentang kebijaksanaan Hang Nadim, dan kerana kebijaksanaannya, dia dihukum bunuh dengan dicampakkan ke laut.

Anak muda yang bangkit melawan di universiti dilihat sebagai pengacau, sebaliknya hanya mahu mereka yang masuk universiti cuma mereka yang sanggup mengampu dan membodek dengan menyusun kek batik terpanjang atau membuat Jalur Gemilang terbesar, itu sahajalah fikrah pelajar universiti, terutamanya Melayu – yang pemerintah mahukan.

Malang ketiga yang membelenggu Melayu ialah mulanya Talibanisasi dalam struktur sosio-politik-ekonomi negara kita, kerana untuk menjadi Melayu, perlu menjadi Islam.

Dan ditambah pula dengan budaya feudal yang menakut-nakutkan dan membodoh-bodohkan orang, Talibanisasi yang makin pantas meningkat sejak 11 September 2001 menjadikan semakin ramai Melayu mula berperangai seperti orang Taliban.

Apabila saya berkata tentang keadaan yang teruk di Acheh akibat hukum hudud yang berlangsung di provinsi autonomi terbabit, mulalah yang terpekik terlolong berkata "ini perlu dan ini penting untuk meneruskan kelangsungan Islam".

Soalan saya pada mereka ini, nak melaksanakan hukum ni perlu juga kaji keadaan sosio-politik-ekonomi, jadi apakah ia akan menjadi lebih baik sekiranya membiarkan polis moral fasis ini membuli rakyat jelata dan biarkan mereka menjadi "judge, jury and executioner"?

Ini dah macam novel distopia George Orwell, “Nineteen Eighty-Four” atau dalam filem “Mad Max”, biarkan saja lebai polis moral ini menghukum orang ramai tanpa bicara?

Itu saya belum cerita lagi tentang betapa seksisnya para ustaz-ustaz yang berceramah sama ada di masjid-masjid, di YouTube, atau di siaran TV secara langsung, dan para hadirin terus angguk saja tanpa berfikir.

Percambahan ilmu apa kalau hanya ustaz sahaja yang boleh bercakap, yang lain angguk-angguk geleng-geleng? Lebih menyedihkan, ada golongan wanita Melayu yang sedang mendengar pun, hanya menerima sahaja lawak seksis dari seorang ustaz lelaki.

Sebab itu saya katakan, dengan ketiga-tiga perkara ini yang membelenggu Melayu, saya dengan berani mengatakan Melayu adalah bangsa paling malang dalam negara ini.

Sebuah pemerintahan despotik, oligarki dan diktator – elemen utama yang para oligarki mahukan kepada rakyat Malaysia ialah kebodohan, kemiskinan dan ketakutan.
Agak-agak, ketiga-tiga elemen diatas , dah berlaku pada kaum Melayu ke belum ?



Nomy Nozwir merupakan seorang bekas wartawan yang kini menjadi penulis novel alternatif dengan nama Nami Cob Nobbler. Beliau berkicau di @comradenami .

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .