» » 'Ke mana hilangnya RM274 JUTA hasil cukai bahan api Malaysia ?'


Putrajaya perlu menjelaskan ke mana RM274 juta yang dikumpulkan hasil "cukai tersembunyi" harga minyak sejak November lalu, berikutan rakyat Malaysia terpaksa membayar lebih daripada harga pasaran bagi petrol dan diesel, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, hari ini.

Rafizi berkata, apa yang berlaku sekarang adalah apabila harga pasaran bahan api lebih rendah daripada harga di pam petrol, perbezaan cukai dibayar kepada kerajaan.

"Jadi, pada masa ini syarikat minyak perlu membayar kerajaan sejumlah RM247 juta, tetapi adakah mereka berbuat demikian? Dan jika mereka berbuat demikian, ke mana wang itu digunakan?.

"Ketika orang ramai terus membayar (petrol) dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran (walaupun tanpa subsidi), sebenarnya rakyat Malaysia yang membayar cukai petrol sejak November 2014,” katanya.

Cukai petrol yang "tersembunyi" dianggarkan berdasarkan jumlah penggunaan tahunan petrol (14 bilion liter) dan diesel (9.64 bilion liter) pada harga pasaran semasa dunia.

Rafizi, yang juga ahli Parlimen Pandan berkata, harga petrol RON95 jatuh daripada RM1.73 seliter pada 1 Disember kepada RM1.58 seliter pada 15 Disember.

Begitu juga dengan harga diesel merosot daripada RM1.87 kepada RM1.71 seliter dalam tempoh yang sama.

"Malah, dengan jaminan keuntungan dan kos dikenakan syarikat kerajaan dan minyak pada 32 sen seliter bagi RON 95 dan 23 sen seliter bagi diesel, harga petrol dan diesel akan masih lebih rendah daripada ditentukan kerajaan.

"Dengan mengambil kira kos ini, harga RON95 sepatutnya RM2.05 seliter (pada 1 Disember) dan RM1.90 (15 Disember), berbanding RM2.26 seliter yang dibayar rakyat sekarang.

Katanya, harga diesel sepatutnya RM2.10 seliter pada 1 Disember dan jatuh kepada RM1.94 pada 15 Disember sementara harga diesel di pam ialah RM2.23 seliter.

Rafizi berkata rakyat membayar lebihan RM47 juta bagi petrol RON95 pada November dan RM146 juta lagi dalam 15 hari pertama Disember.

Selain itu, lebih RM81 juta dibayar untuk diesel.

"Ini bermakna jumlah cukai petrol yang kerajaan secara senyap-senyap kumpul daripada orang ramai dalam masa hanya 45 hari adalah RM274 juta.

"Sebab itu saya menekankan sistem dalam menentukan harga bahan api semasa tidak telus dan menzalimi rakyat. Datuk Seri Najib Razak perlu menjawab dengan segera dan memberitahu kami di mana RM274 juta cukai tersembunyi yang dikumpul itu pergi," katanya.

Rafizi, yang juga naib presiden PKR, sebelum ini menuduh Putrajaya memanipulasi harga runcit bahan api kerana harga tanpa subsidi RON97 dan RON95 petrol dan diesel tidak menggambarkan harga minyak dunia.

Putrajaya menghapuskan subsidi bahan api mulai 1 Disember dan mengumumkan ia akan mengikut sistem apungan terurus, sama seperti yang digunakan untuk petrol RON97.

Harga bahan api untuk RON95 dan RON97 dikurangkan sebanyak 4 dan 9 sen, masing-masing pada hari sama, kerana harga bahan api di pasaran dunia terus jatuh.

Bagaimanapun, harga diesel dinaikkan kepada RM2.23 pada 1 Disember, daripada RM2.20 sebelum ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata awal bulan ini kenaikan 3 sen harga runcit diesel disebabkan sejumlah besar subsidi sebelum ini dibayar Putrajaya.

"Merujuk kepada harga diesel, ia disebabkan jumlah subsidi yang besar diberikan sebelum ini. Oleh itu, selepas perbincangan, kami tidak boleh menurunkan harga lagi.

"Berdasarkan kepada sistem apungan yang digunakan, tidak ada pilihan selain menaikkan harga," katanya.

Tetapi Rafizi berkata hari ini Hasan sama ada menipu atau dia tidak mempunyai ilmu tentang bagaimana mekanisme harga bahan api berlaku.

"Saya tidak tahu bagaimana lagi Putrajaya mahu memusing tetapi ia mengikut harga pasaran," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .