Asas ekonomi Malaysia terus kukuh walaupun berlaku kejatuhan berterusan dalam harga minyak global yang menjejaskan pasaran di seluruh dunia, termasuk pasaran ekuiti dan mata wang tempatan.
"Ekonomi kekal kukuh tetapi negara ini tidak beroperasi secara berasingan, menjadikan pasarannya terdedah kepada kejatuhan harga minyak," kata Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini.
Menurutnya, prestasi lembab Bursa Malaysia semalam, terutama kaunter berkaitan minyak dan gas, disebabkan Malaysia menjadi destinasi pelaburan utama penggiat minyak dan gas.
Berikutan itu, apa yang berlaku pada ekonomi luar, terutama sektor minyak dan gas, tentunya akan mempengaruhi sentimen pelabur tempatan.
"Malaysia menjadi destinasi penting syarikat minyak dan gas untuk disenarai, terutama syarikat perkhidmatan sokongan minyak dan gas.
"Mereka (syarikat minyak dan gas) tidak kebal kepada apa yang berlaku sekarang ini dan kita tidak tahu ke mana arah tujunya.
"Ia bergantung kepada perkembangan global," katanya di Kuala Lumpur hari ini.
Harga minyak mentah kini sekitar US$68 (RM231) setong, tahap terendah dalam tempoh lima tahun berikutan keputusan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (Opec) minggu lepas untuk tidak memotong pengeluaran walaupun bekalan berlebihan.
Penganalisis bimbang harga ketika ini yang terus jatuh, boleh menjunam sehingga serendah US$40 setong, tahap yang dicatat kira-kira 30 tahun lepas.
Harga jatuh ke paras terendah dalam sejarah iaitu US$12 setong pada 1980-an, disebabkan lebihan pengeluaran dan keengganan Opec memotong pengeluaran ketika itu.
Bagaimanapun, kaunter minyak dan gas yang merudum di Bursa Malaysia semalam, pulih semula hari ini berikutan pembelian pada harga rendah.
Petronas Gas ditutup 10 sen lebih tinggi pada RM21.10, Petronas Chemicals untung 37 sen kepada RM5.50, Petronas Dagangan naik 14 sen kepada RM14.78 dan SapuraKencana menambah lima sen kepada RM2.56.
No comments: