» »Unlabelled » Penoreh hilang 66% pendapatan sebulan kerana harga getah jatuh



Kejatuhan harga pasaran getah dunia bukan saja menyebabkan pendapatan penoreh dan pemilik kebun getah terjejas, malah hampir setengah juta penoreh getah dan pekebun kecil terpaksa bergelut untuk hidup seharian ekoran kesan kenaikan kos sara hidup.

Jika dulu mereka menikmati hasil menoreh getah sehingga RM1,500 sebulan, tetapi kini hanya mampu memperoleh pendapatan antara RM500 hingga RM600, hilang kira-kira 66% daripada pendapatan asal sejak awal tahun ini.

Zulkifli Husin, 61, pemilik kebun getah di Kampung Peradong, Jelebu di Negeri Sembilan berkata, hidupnya kini bagaikan 'kais pagi makan pagi, kais malam makan malam'.

Mewarisi kebun seluas 3 ekar daripada ayahnya, menoreh getah merupakan pendapatan utama Zulkifli bagi menyara lima isi rumah, dua daripadanya masih bersekolah.

"Kalau dulu boleh menyimpan duit untuk belanja keperluan anak, sekarang dalam buku bank RM1 pun tidak ada.

"Kami tidak ada pilihan selain terpaksa ikat perut lebih-lebih lagi harga barang dan makanan sekarang semuanya mahal," katanya ketika ditemui The Malaysian Insider.

Sebagai pekebun kecil, beliau terpaksa akur dengan harga getah yang merudum teruk sehingga RM1.60 sekilogram berbanding sebelum ini RM3.

Lebih menakutkan, beliau tidak dapat membayangkan keadaan dirinya sekeluarga menghadapi musim 'daun luruh' tahun depan, iaitu tempoh getah tidak dapat mengeluarkan hasil sepanjang Februari dan Mac.

"Biasanya dapat hasil 50kg sehari, tetapi apabila daun luruh paling banyak dapat 25kg sehari," katanya.

Katanya, kehidupan kampung sedikit sebanyak dapat menjimatkan perbelanjaannya dengan menanam sayur sendiri dan membela haiwan ternakan ayam dan kambing.

"Di sini harga barang mahal. Ikan tenggiri RM30, ikan kembung RM12. Nasib baik juga saya bukan perokok," katanya tertawa.

Walaupun mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan khas 'one-off' RM500 daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), namun katanya jumlah itu tidak mampu menampung beban kos sara hidup dalam tempoh setahun, terutamanya ketika menjelang musim awal persekolahan dan perayaan.

Pekerja kebun, Mohd Shamsul Hashim, 32, berkata kerja menoreh saja tidak mampu menanggung 5 anaknya yang berusia antara 3 hingga 12 tahun.

Keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa membuat kerja sampingan sebagai 'despatch' dan mampu memperoleh pendapatan sehingga RM1,200 sebulan.

"Kalau ikutkan RM1,200 tidak cukup. Sebulan belanja RM800 hanya untuk anak.

"Kalau tidak buat part-time memang tidak boleh hidup," katanya yang mempunyai 4 anak belajar di sekolah rendah.

Katanya, kejatuhan harga getah juga menyebabkannya terpaksa mencari kerja tambahan seperti menebas kebun, bertukang dan kerja kampung.

"Kalau tidak cukup juga terpaksa pinjam atau buat pendahuluan dengan pemborong," katanya.

Pemborong getah berlesen persendirian, Noraznim Nordin, 38, berkata harga pasaran getah sekarang adalah terburuk dalam tempoh 4 tahun.

"Harga getah paling tinggi pernah dicatatkan pada 2012 iaitu sehingga mencecah RM6.

"Setakat ini paling rendah harga getah RM1.80 sekilogram. Biasanya paling kurang harga getah saya ambil RM2.70 sekilogram," katanya yang menjalankan urusan jual beli getah penduduk Kuala Klawang, Negeri Sembilan kepada Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (Mardec).

Katanya, kerajaan sepatutnya mengawal harga getah dan tidak membiarkan harga getah jatuh teruk sehingga menjejaskan punca utama rezeki penoreh.

"Daripada beri BR1M, bantuan Risda itu sepatutnya duit itu digunakan untuk mengawal harga getah. Jangan sampai jatuh bawah RM3 sekilogram," katanya.

Wall Street Journal (WSJ) semalam melaporkan kejatuhan harga komoditi minyak menyebabkan impak terhadap perkembangan ekonomi Malaysia.

Malaysia sebagai pengeluar kedua terbesar hasil minyak kelapa sawit dan getah mencatatkan kejatuhan masing-masing 25% dan 16%.

Ini bermakna pekebun kelapa sawit juga turut terjejas dengan apa yang berlaku sekarang.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .