Akhbar milik Umno Utusan Malaysia hari ini mengingatkan pemimpin parti Melayu itu agar memberi peluang kepada muka baru dalam kepimpinannya supaya ia mampu menjadi sandaran kepada golongan muda.
Awang Selamat yang mewakili suara pengarang akhbar itu berkata, amanat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Konvensyen Umno Wilayah Perseketuan perlu dijadikan rujukan agar sokongan golongan muda tetap menjadi sandaran parti berkenaan.
“Awang sentiasa menanti-nantikan muka-muka baharu dan muda dalam kepemimpinan Umno. Ini kerana parti ini tidak boleh secara berterusan bersandarkan kepada pemimpin-pemimpin yang sudah terlalu lama untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Sudah tentu kalau penguasaan pemimpin-pemimpin yang sudah terlalu lama ini dibiarkan ia akan menjadikan Umno sebagai parti yang lesu dan kaku pada masa depan dan pada masa sama ia tidak menggambarkan parti ini menjadi sandaran dan harapan kepada golongan muda,” katanya.
Semalam, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata zaman pemimpin lama menyekat golongan muda untuk mendapat tempat di dalam parti Melayu itu sudah berlalu.
Katanya, pemimpin Umno perlu sedar jawatan yang dipegang bukanlah milik keturunan untuk selama-lamanya dan mereka perlu berundur apabila tiba masa.
“Kita bukan ketua perang yang menganggap jawatan dalam parti kepunyaan kita dan harus dimiliki keturunan kita atau dipegang oleh kita.
“Saya fikir bila tiba masanya, kalau sudah mendapat tanda kita tidak lagi dikehendaki, maka cara terbaik ialah mengundurkan diri sebelum kita diundurkan,” katanya.
Awang Selamat berkata Najib sudah berulang kali mengingatkan pemimpin parti itu agar ruang penyertaan kepada generasi muda dibuka bagi membolehkan suara golongan berkenaan didengari.
“Dalam menarik perhatian dan sokongan orang muda, maka sepatutnya orang muda diberi peluang berada dalam kepemimpinan parti. Jika tidak bagaimanakah suara orang muda itu boleh dibawa dan dihayati?
“Umno mesti dilihat sebagai parti yang sentiasa berani untuk berubah demi kebaikan dan mendekati orang muda. Jika tidak sampai bila pun parti ini akan ditolak oleh golongan muda,” katanya.
sumber
No comments: