Sebagai ahli politik, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau menerima segala kritikan hebat yang dilemparkan terhadap kepimpinannya, lapor Mingguan Malaysia hari ini.
Menjawab segala kritikan, terutama daripada beberapa pemimpin Umno veteren seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, Najib berkata, kebiasaannya beliau akan menilai setiap kritikan tersebut.
Daripada situ, segala pertimbangan bertujuan pembetulan dasar atau tindakan akan diputuskan, katanya dalam satu temubual khas dengan akhbar milik Umno itu yang disiarkan hari ini.
Memberi contoh pelaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), presiden Umno itu berkata, meskipun ada yang mengkritik namun ramai juga rakyat yang menyokong pelaksanaan tersebut yang dilihat mengurangkan beban rakyat menghadapi pertambahan kos sara hidup.
Najib yang menafikan pemberian BR1M itu satu agenda kerajaan Barisan Nasional membeli undi rakyat berkata, beliau bersifat terbuka dan akan mengkaji semula pelaksanaan tersebut sekiranya ramai yang tidak menyokong kaedah itu.
"Saya bersikap terbuka dalam soal ini, tetapi ke mana saya pergi pun orang ramai mahu BR1M. Malah mereka mahu ditambah lagi jumlahnya. Itu reaksi orang dan BR1M dibuat bukan kerana mahu beli undi," katanya.
Temubual eksklusif itu dibuat sempena menjelang Perhimpunan Agung Tahunan Umno yang akan berlangsung minggu depan.
Katanya, pemberian BR1M memberi banyak manfaat kepada rakyat terutama setelah kerajaan bertindak mengurangkan subsidi harga minyak.
"Bila kita kurangkan subsidi dan harga minyak naik, kita akan kurangkan beban rakyat melalui BR1M. Jadi, hasil yang terima diagihkan kepada rakyat," katanya.
Meskipun tidak menolak pemberian BR1M dapat dimansuhkan jika kerajaan bertindak tidak mengurangkan subsidi, namun ia bukan kaedah terbaik apabila lebih banyak wang terpaksa diperuntukkan bagi melaksanakan pendekatan tersebut.
"Tetapi, subsidi sebenarnya banyak membazir. Dan kita tahu apabila dilakukan BR1M, ini lebih fokus pada golongan sasar," katanya.
Dalam kritikan terbaru Dr Mahathir terhadap Najib, bekas perdana menteri itu menyifatkan pemberian BR1M seumpama rasuah bagi membeli undi rakyat.
Ini bukan pertama kali Dr Mahathir mengkritik Najib, namun ia semakin kerap dan situasi bertambah tegang apabila bekas menteri kewangan turut melakukan perkara sama.
Selain Daim, turut lantang membidas pimpinan presiden Umno ini termasuk Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang juga bekas menteri kewangan.
Tengku Razaleigh, atau Ku Li, tidak bersetuju dengan keputusan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada tahun depan.
Mengulas mengenai kritikan itu, Najib menafikan perkara tersebut menggangu beliau sekiranya ahli Umno menyokong dan tidak menimbulkan krisis dalam parti.
"Saya anggap (kritikan) sebagai pendapat yang berbeza dalam dasar serta tindakan kerajaan," katanya.
Katanya, ahli Umno juga setakat ini tidak ada yang mengambil sikap menentang pucuk pimpinan di mana mereka menghormati Dr Mahathir sebagai pemimpin lama, pada masa sama terus memberi sokongan kepada kepimpinannya.
"Itu sebabnya bila satu teguran diberikan, saya nilai, kaji dan tanya juga pendapat. Tapi majoriti pendapat menyokong BR1M.
"Mereka mahukannya dan tidak anggap sebagai membeli sokongan orang. Malah memang bukan itu tujuannya," katanya.
Najib berkata, kritikan terhadapnya juga tidak dapat dielakkan memandangkan dasar keterbukaan yang dilaksanakan kerajaan di laman sosial tidak memungkinkan kerajaan melaksanakan sekatan kerana ia akan mencetuskan kemarahan rakyat.
Katanya, pada zaman pemerintahan Dr Mahathir sudah ada jaminan tiada tapisan Internet, di mana polisi kerajaan sejak dari dulu membenarkan penggunaan laman sosial.
"Tetapi, apabila kita sudah beri kebebasan kita hendak tarik balik, itu adalah sukar. Misalnya, cuba kita hendak tapis Facebook dan Twitter, akan timbul kemarahan rakyat pula kerajaan kita ini kuku besi atau autoritarian," katanya.
No comments: