Pemimpin DAP Ong Kian Ming hari ini menggesa Putrajaya menjelaskan tindakan menyalurkan dana perbelanjaan pembangunan kepada syarikat kecil yang tidak dikenali dimiliki kementerian kewangan, iaitu Pembinaan PFI Sdn Bhd.
Ahli Parlimen Serdang itu berkata, syarikat itu membentangkan penyata akaun kewangan tahun 2011 pada 29 Jun 2012, dan 2012 pada 28 Jun 2013, tetapi masih belum berbuat demikian bagi tahun kewangan berakhir 2013.
"Terdapat kelewatan hampir lima bulan. Adakah PFI cuba menyembunyikan peningkatan mendadak dalam liabiliti syarikat itu pada tahun kewangan 2013?" soal Ong dalam kenyataannya hari ini.
"Adakah ia mengikut jejak syarikat milik Kementerian Kewangan lain seperti SRC International dan 1Malaysia Developmen Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya yang tidak memfailkan penyata akaun kewangan mengikut masa ditetapkan?"
Beliau berkata, syarikat tersebut mencatatkan peningkatan liabiliti pada kadar yang membimbangkan di mana pada akhir 2011, ia berada pada RM19.9 bilion sementara pada akhir 2012 menjadi RM27.9 bilion – naik RM8 bilion hanya dalam tempoh setahun.
Minggu lepas, Ong membangkitkan isu liabiliti PFI ini, termasuk urusan sewaan bernilai berbilion ringgit yang mencurigakan, dan mendakwa Putrajaya cuba menyembunyikan kira-kira RM30 bilion yang dibelanjakan syarikat itu.
Laporan Ketua Audit Negara Siri 3/2013 menunjukkan liabiliti Pembinaan PFI berjumlah RM27.8 bilion pada 2012, menjadikannya syarikat ketiga dalam senarai syarikat milik kerajaan mempunyai liabiliti terbesar selepas Petronas dan Khazanah Nasional.
Menurut laporan The Edge, PFI atau Private Finance Initiative (Inisiatif Pembiayaan Swasta) ditubuhkan bagi mengagihkan perbelanjaan RM20 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-9 (2006 - 2010) di mana keutamaan akan diberi kepada kontraktor bumiputera kecil mendapatkan kontrak di bawah PFI.
Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan terdapat dana pusingan kedua berjumlah RM10 bilion diberi kepada PFI, di mana RM7.57 bilion daripadanya ialah bagi 16 kementerian atau agensi menjalankan 313 projek.
Laporan itu menyatakan setakat 31 Disember 2013, sejumlah RM4.9 bilion dibelanjakan daripada dana kedua tersebut.
Semalam, Ong di Parlimen menggesa Putrajaya menjelaskan satu perjanjian 'rumit' yang dibuat dengan PFI yang menyaksikannya memajak semula tanah yang sudah menjadi miliknya dengan harga RM29.2 bilion
Beliau mendedahkan yang PFI menandatangani perjanjian dengan Suruhanjaya Tanah Persekutuan di mana suruhanjaya akan memajak kepada PFI sebanyak 186 plot tanah di seluruh negara.
"Suruhanjaya itu kemudiannya akan pajak semula tanah itu dari PFI dengan membayar sewa bagi tanah yang memang sudah dimilikinya itu.
"Dengan erti kata lain, kerajaan memajak semula tanah yang dimilikinya sendiri bertujuan membayar sewa. Ia seperti menyewa apartment yang saya sudah miliki kepada isteri saya, dan kemudiannya memajaknya semula daripada beliau dengan membayarnya sewa," katanya.
No comments: