» » 'Ahli UMNO takut bahas isu 1MDB dalam PAU minggu hadapan'


Naib Pengerusi DAP Teresa Kok berkata ahli Umno penakut kerana tidak berani membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada perhimpunan agung parti tersebut minggu depan.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, ahli dan pemimpin Umno sepatutnya membangkitkan isu lebih penting yang dibimbangi sendiri bekas presiden parti dan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad khususnya melibatkan pelaburan 1MDB.

"Isu melibatkan 1MDB yang dibangkitkan oleh DAP dan Dr Mahathir adalah isu serius di mana delegasi Umno perlu berani untuk mendebatkannya," kata Kok dalam satu kenyataan hari ini.

Kok mempertikaikan topik yang ditetapkan sebagai perbahasan dalam Perhimpunan Agung Umno 2014 (PAU 2014), seperti isu sekolah vernakular dan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memantapkan ekonomi Bumiputera, menyifatkannya tidak akan membawa kepada penyelesaian.

"Apa perhimpunan agung itu cuba capai dengan menjadikan isu sekolah vernakular sebagai topik utama dan dalam konteks sekolah satu aliran bertentangan sekolah vernakular?

"Adakah ia taktik untuk menyalahkan sekolah vernakular sebagai kegagalan kerajaan membawa perpaduan sebenar atau menjadikan ia alasan sebagai kegagalan Barisan Nasional dalam dua pilihan raya umum?" katanya.

Kok berkata, Umno sewajarnya mencermin diri mereka sendiri sebagai punca kegagalan sistem pendidikan negara, malah menteri sendiri menghantar anak mereka ke sekolah swasta dan antarabangsa.

"Jika Umno terlalu bimbang dengan isu pendidikan sekolah rendah, mereka juga boleh berbincang secara rasional mengapa sekolah kebangsaan gagal menjadi pilihan utama ibu bapa, seperti yang dibangkitkan bekas perdana menteri di mana ramai menteri dan pemimpin Umno menghantar anak mereka ke sekolah swasta atau antarabangsa, sama ada dalam atau luar negara," katanya.

Kok juga membidas Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang menyerangnya secara peribadi, tetapi pada masa sama tidak berani membangkitkan isu 1MDB.

"Beliau tidak berani untuk bangkitkan isu 1MDB di PAU 2014.

"Bagi menyembunyikan fakta, beliau memilih untuk serang saya secara tidak berasas dan DAP. Serangannya termasuk menuduh saya pada masa lalu menghina kedudukan orang Melayu dan Islam," kata Kok.

Kok mengingatkan Syed Ali, isu 1MDB bukan kecil tapi merupakan skandal terbesar negara, ia sendiri dipersoalkan Dr Mahathir.

"Adakah Syed Ali juga akan mendakwa Dr Mahathir mempolitikkan isu 1MDB untuk mencemarkan imej Najib?" katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .