» » Sasaran bantuan BR1M tidak tercapai ?


Selepas Putrajaya menaikkan kadar bantuan wang tunai bagi mereka yang berpendapatan rendah, timbul persoalan bagaimana ia menentukan siapa layak menerima bantuan itu dan samada sasaran bantuan dicapai.

Dakwaan badan pemikir Institut Rakyat bahawa Putrajaya mungkin terlebih bayar disebabkan cara pengiraan pendapatan bagi menentukan kelayakan penerima, mewujudkan persoalan amalan subsidi bersasar itu bercanggah dengan matlamat mahu membantu mereka yang memerlukannya.

Menurut pakar dan ahli ekonomi, sepertimana prinsip tidak memberikan bantuan sekaligus kepada semua pihak, adalah juga penting tidak menjangkakan semua rakyat Malaysia berpendapatan rendah punya keperluan sama.

Kos sewa dan makanan berbeza antara kawasan luar bandar dan bandar. Menurut Jabatan Statistik, ia merupakan dua komponen utama perbelanjaan bulanan isi rumah.

Program bantuan tunai yang paling dikenali adalah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), di samping program bantuan kewangan bagi kumpulan yang berada di bawah paras kemiskinan, yang kini ditetapkan pada RM800.

Terdapat dua kategori penerima BR1M, isi rumah berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 akan menerima RM950, manakala RM750 diberi kepada mereka yang berpendapatan antara RM3,000 dan RM4,000

Tiada perbezaan antara pendapatan isi rumah bandar atau luar bandar, malaupun Bancian 2010 menyatakan 71% daripada rakyat Malaysia kini menetap di kawasan bandar.

Jayanath Appudurai, penulis isu kemiskinan, berkata perlu dibezakan kadar bantuan BR1M setiap negeri berdasarkan pendapatan dan kos sara hidup.

Jayanath berkata Kajian Perbelanjaan Isi Rumah 2009-2010 (HES 2010) mendapati perbelanjaan bulanan di bandar sebanyak RM2,465 dan RM1,599 di kawasan luar bandar.

Angka pada 2010 itu juga tidak mencerminkan kos kehidupan sekarang selepas kerajaan mengurangkan subsidi bahan api dan menaikkan tarif elektrik ke atas perniagaan.

"Pendek kata, purata perbelanjaan bulanan isi rumah di bandar adalah 1.5 kali lebih banyak berbanding purata pendapatan di luar bandar.

"Mereka boleh menyokong suatu jumlah yang lebih tinggi di bandar. Alternatifnya ialah bantuan kewangan lebih besar di bandar dipertimbangkan," kata bekas penjawat awam itu.

Beliau berkata memandangkan makanan, pakaian, dan pengangkutan merangkumi sekitar 65% daripada perbelanjaan isi rumah, barangan dan perkhirmatan ini boleh menjadi asas menetapkan kadar bantuan.

"Ia kemudiannya boleh dikira melalui indeks harga pengguna bagi kawasan bandar dan luar bandar, termasuk negeri.

"Kadar lebih tinggi boleh digunapakai untuk isi rumah di Sabah yang mempunyai kos sara hidup tinggi," kata Jayanath.

Menurut pakar ekonomi, Dr Lee Hwok-Aun, BR1M perlu ditentukan berdasarkan pendapatan median negara atau sebahagian daripada pendapatan median bagi menyesuaikannya dengan keadaan sosio-ekonomi.

Pendapatan “median” negara adalah jumlah keseluruhan pendapatan dibahagi dua. Manakala pendapatan “purata” pula adalah keseluruhan pendapatan dibahagikan dengan bilangan isi rumah.

Pensyarah dari Universiti Malaya itu berkata, jumlah pendapatan isi rumah pada peringkat median lebih sesuai sebagai anggaran daripada purata, dengan separuh daripada populasi menerima pendapatan kurang, manakala separuh lagi menerima pendapatan pada kadar tinggi.

Selain itu, Lee berkata, pengiraan pendapatan purata tidak tepat disebabkan ia turut mengambil kira mereka yang berpendapatan sangat tinggi.

Berdasarkan pengiraan pendapatan purata, purata pendapatan isi rumah Malaysia adalah RM5,000 sebulan, suatu angka yang dikatakan tidak tepat ketika membincangkan realiti sebenar rakyat Malaysia.

Pengiraan menggunakan median adalah RM3,600, bermakna separuh daripada penduduk, atau 7 juta isi rumah berpendapatan kurang daripada itu sebulan.

Lee berkata, menggunakan pengiraan median, adalah lebih konsisten dengan polisi meningkatkan pertumbuhan kumpulan kelas menengah.

"Ia untuk menjadikan pendapatan lebih banyak isi rumah hampir dengan pendapatan median. Dengan pendapatan isi rumah berkerumun di sekitar median, bilangan isi rumah menerima pendapatan separuh pendapatan median akan menurun.

"Dalam jangka masa panjang, ia objektif yang lebih membina dan dinamik berbanding menetapkan BR1M pada kadar RM3,000 atau jumlah lain," katanya.

Malah, Jayanath mencadangkan kadar pendapatan median dikira di bandar dan juga luar bandar.

"Bagi pendapatan isi rumah bandar, pendapatan median adalah RM4,238, dan luar bandar, RM2,372, berdasarkan Kajian Pendapatan Isi Rumah 2012.

"Berdasarkan purata perbelanjaan di atas, ia mencadangkan kadar maksima RM4,500 (bandar) dan RM3,000 (luar bandar)."

Bagi Yin Shao Loong dari Institut Rakyat, yang penting adalah bukan kadar tunai yang ditetapkan, kerana bantuan tunai hanya menunjukkan kerajaan gagal menguruskan ekonomi dengan baik.

"Pemberian wang tunai adalah bantuan yang melegakan, ia tidak memberikan perubahan struktur yang membolehkan keluarga keluar garis kemiskinan," kata Yin, yang merupakan pengarah eksekutif badan pemikir itu.

Menurut kajian Pendapatan Isi Rumah 2012, 40% isi rumah terendah menerima pendapatan isi rumah sebanyak RM1,847 sebulan. Manakala 40% isi rumah pertengahan menerima purata RM4,573 sebulan.

Jadi, dengan berdasarkan paras yang ditentukan kerajaan sendiri, separuh daripada isi rumah di Malaysia tidak mempunyai pendapatan mencukupi.

Yin berkata, kombinasi pemberian wang tunai dan pendapatan rendah berterusan adalah resepi yang boleh dimanipulasi untuk kepentingan politik.

"Disebabkan dimensi politik pemberian ini, sukar membezakan samada kerajaan menetapkan BR1M bagi tujuan ekonomi atau politik," kata Yin.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .