Penulis dan pengarah filem, Raja Azmi Sulaiman menyelar tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kampus Kuantan menghalangnya daripada sesi bersama mahasiswa pusat pengajian itu.
Katanya, alasan novel terbaru beliau Karkuma berunsur seks adalah hanya menggambarkan “pemikiran cetek”.
Beliau turut menjelaskan tidak kecil hati dengan tindakan itu tetapi beliau berasa hairan kerana alasan sekatan hanya bersandarkan novelnya yang pernah diharamkan sebelum ini, Cinta 200 Ela.
“Kenapalah mereka (UIA) terlalu cetek pemikiran? Adakah kerana mereka adalah sebuah universiti Islam jadi mereka terus menyekat segala yang berkaitan dengan seks sedangkan Islam juga ada mengajar tentang itu juga,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebelum ini.
Katanya, selain Cinta 200 Ela yang menurutnya mengandungi sedikit unsur seks, karya-karya lain berkisar pelbagai isu, termasuk alam mistik, patriotik, keagamaan dan politik.
“Mereka kena tahu sebelum ini saya juga pernah menerbitkan buku-buku ajaran solat untuk kanak-kanak, buku komik Anak-anak Sidek yang berunsurkan patriotik untuk generasi muda dan skrip-skrip drama yang berunsurukan keagamaan, di samping buku novel politik prokerajaan memerintah.
“Apa yang mereka lakukan pada saya menunjukkan mereka tidak selidik latar belakang saya terlebih dahulu. Mereka sendiri menyusun jadual dan sebagainya tetapi bila hari yang sepatutnya jadi begini pula.
Beliau juga berkata, programnya di universiti lain sebelum ini tidak mempunyai sebarang masalah.
Malaysiakini sudah menghubungi UIA kampus Kuantan dan masih menunggu reaksi pihak terbabit.
Penerbit Merpati Jingga sebelum ini mendakwa, UIA cawangan itu didakwa Raja Azmi daripada sesi perkongsian proses kreatif pengkaryaannya dengan mahasiswa universiti itu.
sumber
No comments: