Kumpulan penjenayah kini cuba mencabar kemampuan anggota polis dan sistem perundangan negara selepas ketiadaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurut Wan Junaidi, selepas ketiadaan ISA, undang-undang yang tinggal sekarang semuanya memerlukan polis mengemukakan bukti sebelum membuat penangkapan.
"Mereka mencabar kuasa undang-undang dan kemampuan polis kita, dan oleh kerana apa yang saya sudah sebut dari dulu, lagi, apabila ISA tidak boleh digunakan lagi.
"Undang-undang yang ada sekarang adalah berlandaskan bukti," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Wan Junaidi berkata, disebabkan perkara itu, rakyat seharusnya menerima hakikat hari ini keadaan berkenaan menyukarkan pasukan polis menahan mereka yang dipercayai terlibat tanpa bukti kukuh.
Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti punca insiden letupan bom tangan di Bukit Bintang baru-baru ini dan ianya berpunca daripada perebutan kawasan antara kumpulan kongsi gelap.
Wan Junaidi berkata, polis kini sudah memperkecilkan siasatan mereka sejurus menerima maklumat berkenaan dan perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Kita sudah mengetahui ini adalah satu pergaduhan antara badan kongsi gelap dan nak mendominasi kawasan tersebut, jadi ia lebih mudah sedikit dari sudut yang awal," katanya.
"Maka kita akan umum hasil siasatan dalam tempoh terdekat," katanya.
Beliau berkata, dengan perubahan sistem perundangan yang memerlukan bukti nyata sebelum sebarang tangkapan dilakukan, ia sedikit menyukarkan anggota PDRM menahan mana-mana pihak yang disyaki terlibat dengan kegiatan itu.
"Kita memang sudah mengetahui perkara ini berlaku sejak dulu lagi, kita ketahui, kita juga memperkasakan PDRM, menubuhkan beberapa unit dalam Kementerian Dalam Negeri, termasuk unit perisikan dan cawangan khas dalam perkara ini," katanya.
Beliau berkata, tindakan berkenaan adalah "perang psikologi" yang menunjukkan mereka mungkin terkesan, tetapi belum lagi terkeluar.
"Jadi dalam keadaan sedemikian, kita kena lihat perkembangan akan datang, ini 'psychology warfare' dan menunjukkan 'we may be down, but we are not out'," katanya.
sumber
No comments: