Setelah beberapa kali menolak tawaran mengadakan konsert di Istana Budaya, akhirnya kumpulan rock gergasi negara, Search bersetuju masuk ke pentas berprestij bertaraf dunia itu.
Mereka akan menggegarkan Istana Budaya pada 4-7 Disember ini dengan konsert yang dinamakan Search: Live In Istana Budaya 2014. Belum pun jualan tiket dilancarkan, penganjur dah dapat tempahan awal dari peminat Singapura dan Indonesia.
“Mereka bimbang tak dapat tempat sebab kerusi hanya seribu lebih sahaja untuk satu pementasan,” kata anggota kumpulan itu, Nasir.
Jualan tiket berharga RM109, RM209, RM309 ndan RM409 akan dibuka mulai 15 Oktober ini. Ada juga tiket istimewa berharga RM799 yang bakal menerima pelbagai item dan kelebihan lain dalam konsert tersebut nanti.
“Ia tempat duduk paling strategik untuk menonton dan hanya terhad kepada beberapa tempat sahaja,” kata Pengarah Urban Creative Synergy, Shamil Yusof, penganjur konsert tersebut.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani dalam sidang akhbar di Istana Budaya hari ini mengakui sangat berbesar hati dengan kesediaan Search memenuhi undangan mengadakan konsert di Istana Budaya.
“Ia ibarat impian menjadi nyata. Dah lama kami mahu membawa masuk Search ke Istana Budaya dan baru kali ini ia terlaksana,” kata Juhari.
Juhari juga menyeru agar peminat yang akan datang nanti mematuhi ketetapan Istana Budaya khususnya dalam etika berpakaian semasa menonton.
Penyanyinya, Amy tidak menganggap ketetapan itu sebagai membataskan persembahan mereka nanti. Mereka akan mengadakan konsert sebagaimana konsert mereka sebelum ini.
“Persembahan kami masih sama, cuma penonton sahaja yang kena patuhi etika berpakaian. Saya yakin peminat akan faham,” kata Amy.
Mereka juga tidak akan mengetepikan pemain dram, Yazit yang kini kurang sihat kerana penyakit buah pinggang yang dideritainya. Yazit juga akan membuat persembahan bersama-sama mereka nanti.
“Kami akan ada pemain dram undangan untuk konsert nanti dan abang Yazit akan muncul dalam segmen khas bersama-sama kami. Abang Yazit sudah dimaklumkan pasal itu dan kali ini dia faham kerana keadaan dirinya.
“Kami tampilkan dia dalam bentuk memberi penghargaan kepada dia. Mungkin dia akan muncul selama 30 minit. Kami tak tahu lagi segmen macam mana kerana konsep persembahan masih dalam perbincangan.
“Kami pun tak mahu membebani dia dan tentunya penganjur pun tak mahu persembahan kami nanti ada gangguan,” kata Nasir lagi.
Mereka juga akan menyalurkan sebahagian sumbangan daripada konsert itu kepada Yazit. Malah faktor Yazit juga antara sebab mengapa kali ini Search sebulat suara bersetuju menerima jemputan mengadakan konsert di Istana Budaya.
Tempahan tiket boleh dibuat di www.ticketpro.com.my. Penganjur juga akan turut menyalurkan sebahagian kutipan ke Tabung Gaza.
No comments: