Beberapa perkara di dalam Kontrak Sosial merupakan satu bentuk tolak ansur antara semua kaum jika difahami dengan betul dan tidak hanya menyebelahi orang Melayu sahaja seperti yang didakwa sesetengah pihak, kata bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah.
"Contohnya, Islam adalah agama rasmi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan secara bebas, orang Melayu mempunyai hak istimewa tetapi kaum lain juga mempunyai hak yang munasabah.
"Bagaimanapun, ada pihak yang hanya 'membaca' separuh sahaja dan tidak tahu bagaimana kontrak sosial itu dipersetujui oleh wakil tiga kaum utama di negara ini," katanya ketika menjadi anggota panel Forum Kontrak Sosial dan Masa Depan Hubungan Kaum di Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
Kecetekan pemefahaman sejarah dan maksud sebenar Kontrak Sosial dilihat antara punca sesetengah pihak mula berani mempertikai dan mencabarnya.
Forum yang dihadiri pelajar institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah, guru, wakil badan bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat diadakan bertujuan memberi kefahaman mengenai elemen Kontrak Sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 1957.
Seorang lagi anggota panel, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz memberitahu ada sesetengah pihak menggunakan isu Kontrak Sosial semata-mata untuk kepentingan politik.
"Ini perlu dihentikan kerana saya bimbang gerakan (tindakan mencabar) ini menjadi ekstrim tanpa mereka faham semangat dalam Kontrak Sosial itu sendiri," kata pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.
Sementara itu, Setiausaha Kluster Perpaduan Nasional, Majlis Profesor Negara, Prof Madya Dr Sarjit Singh Gill berkata tindakan mencabar Kontrak Sosial juga berpunca daripada ketidakfahaman masyarakat terhadap budaya dan agama kaum lain.
"Jangan ekstrim dan etnosentrik iaitu menganggap budaya kita lebih baik daripada orang lain, tetapi kita perlu melihat kepada persamaan dan bukan perbezaan.
"Contohnya, ada yang anggap laungan azan Subuh sebagai mengganggu, tetapi bagi saya ia adalah peringatan kepada saya untuk bangun beribadat mengikut ajaran agama saya dan di situ kita nampak persamaan yang wujud," jelasnya.
No comments: