» » Konsert Hayat 45 Tahun Seniman Ramli Sarip Bertenaga


Biarpun sudah berusia 63 tahun, Penyanyi yang digelar Papa Rock Datuk Ramli Sarip berjaya memberi persembahan bertenaga dalam konsert Hayat...45 Tahun Seniman Ramli Sarip yang berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya, pada malam Jumaat lalu.

Konsert yang mengimbau penglibatannya sepanjang 45 tahun dalam industri muzik tanah air ini membuatkan penonton terpukau dengan kelunakan suara beliau dalam menyanyikan lagu-lagu popularnya.

Acara bermula tepat pukul 9 malam, Ramli keluar bersahaja berbaju hitam mendendangkan lagu Tersendiri sebagai pembuka tirai pada malam itu.

Lebih mengasyikan tiupan seksofon daripada komposer muzik Jari mengiringi nyanyian beliau membuatkan penonton terbuai dan menyanyi bersama-sama penyanyi itu.

Dalam konsert tiga jam itu Ramli mendendangkan lebih 20 buah lagu termasuk laguDoa, Batu, Syair Laila Dan Majnun, Temasya Desa Gemalai, Bukan Kerana Nama, Tajamdan Istilah Bercinta yang mengembalikan memori zaman kegemilangan rock tanah air sekitar tahun 80-an.


Selain itu konsert bersejarah ini turut menampilkan penyanyi asal lagu Zakiah iaitu Achmad Albar yang berasal daripada Indonesia.

Pada malam itu, Achmad turut diberi peluang menyanyikan dua buah lagu termasuk lagu Zakiah yang dinyanyikan secara duet bersama Ramli.

Selain Achmad, penyanyi Aris Ariwatan dan Dayang Nurfaizah turut tampil sebagai penyanyi undangan pada konsert tersebut.

Dalam pada itu, Ramli sempat berinteraksi dengan penonton menyatakan tentang perjalanan kerjaya nyanyian hingga kini.

"Konsert ini menceritakan perjalanan dan detik permulaan bagaimana saya mencari Ramli Sarip, banyak pengalaman yang saya ingin kongsikan bersama penonton.


"Pengalaman bagaimana proses saya berhijrah daripada menyanyi dalam kumpulan iaitu Sweet Charity hingga saya bergerak secara sendiri dengan nama Ramli Sarip," ujarnya.

Pada segmen penutup, beberapa lagu popular seperti Teratai, Sejuta Wajah, Kamelia,dan Doa Buat Kekasih mendapat reaksi dan tepukan gemuruh daripada penonton.

Konsert ini turut menampilkan barisan pemuzik Man Kidal (gitar utama), Rizal Halim (gitar kedua), Tom Anuar (drum), Fauzie Zain (bass), Roza Rasul (kibod utama), Belle Fatah (kibod kedua), Kamrulbahrin Hussin (perkusi utama), Paang Zaman (perkusi kedua), Boy Razli (flute/gambus) dan pemuzik jemputan seperti Aji Samin (gitar) dan Din Safari (bass).

Selain konsert, Ramli turut mengadakan galeri lukisan untuk menjual koleksi peribadinya buat peminat dan hasil kutipannya akan disumbangkan kepada badan-badan tertentu yang memerlukan.

Konsert Hayat 45 Tahun... Seniman Ramli Sarip berlangsung pada 17 hingga 19 Oktober di Panggung Sari, Istana Budaya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .