» » Kes Berkaitan Altantuya Panas Kembali ?


Seorang peguam terkemuka dijangka dipanggil dalam prosiding tatatertib yang sedang berlangsung terhadap peguam korporat Tan Sri Cecil Abraham kerana salah laku profesional selepas didakwa menyediakan kenyataan bersumpah yang menjadi pertikaian berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider, peguam pakar dalam kes sivil itu ialah antara lima orang saksi dalam prosiding yang dibuat susulan aduan Majlis Peguam terhadap Abraham kerana tanpa tauliah menyediakan akuan bersumpah (SD) untuk mendiang P Balasubramaniam.

Difahamkan peguam yang dijangka dipanggil memberi keterangan hari ini adalah saksi utama berkaitan dengan SD kontroversi itu.

- "Kita tidak boleh dedahkan lebih daripada ini kerana peguam Abraham marah mengatakan ada orang dalam membocorkan butiran prosiding kepada media," kata sumber kepada The Malaysian Insider, sambil menambah peguam Abraham mengatakan pendedahan tersebut sama seperti perbicaraan oleh media.

Pada bulan Mac, Pengerusi Majlis Peguam Malaysia Christopher Leong adalah individu pertama dipanggil.

Prosiding itu kemudian berhenti selama tujuh bulan selepas peguam Majlis Peguam, Lambert Rasaratnam menarik diri kerana tidak selesa membawa bukti dan memeriksa balas Abraham.

Seorang peguam kanan lain, Datuk Bastian Pius Vendargon dilantik menggantikan Rasaratnam.

Bagaimanapun, prosiding yang ditetapkan pada 23 Ogos tidak boleh dijalankan kerana seorang daripada tiga ahli panel jawatankuasa Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam (ASDB) tidak dapat hadir.

Perkara utama menjadi pertikaian ialah Abraham dikatakan menyediakan kandungan SD sedangkan umum mengetahui peguam Balasubramaniam pada masa itu adalah Americk Singh Sidhu.

Kenyataan bersumpah kontroversi itu bertujuan menjawab balik kenyataan bersumpah pertama Balasubramaniam yang mensabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan beberapa individu lain dalam kes pembunuhan Altantuya pada 2006.

ASDB memutuskan mengadakan prosiding itu selepas mendapati terdapat kes prima facie terhadap peguam itu kerana salah laku profesional.

Jawatankuasa yang terdiri daripada dua peguam dan seorang orang awam itu sedang melihat kepada tuduhan salah laku mengikut Seksyen 94 Akta Profesion Undang-Undang 1976 bagi "melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu oleh seorang peguam dalam kapasiti professionalnya yang dianggap sesuatu yang sangat tidak wajar."

ASDB adalah badan bebas dalam Majlis Peguam yang ditugaskan mengikut undang-undang menyiasat salah laku profesional.

Americk juga disenaraikan sebagai seorang saksi tetapi tidak pasti sama ada beliau akan memberi keterangan hari ini.

Sumber berkata, ia bergantung kepada berapa lama peguam kanan itu akan berada di dalam kandang saksi.

Turut dipercayai berada dalam senarai saksi ialah peniaga permaidani Deepak Jaikishan yang sebelum ini mengaku membantu Balasubramaniam membatalkan SD pertamanya dengan mendapatkan dua peguam untuk mendraf kenyataan baru.

Americk mula menarik perhatian ramai kepada SD yang menjadi perbalahan itu apabila beliau membacakan satu kenyataan yang disediakan pada mesyuarat agung tahunan Majlis Peguam tahun lepas, mengatakan: "Abraham mengaku kepada saya dialah orangnya yang menggubal SD kedua itu."

Americk kemudian memberitahu pemberita di luar mesyuarat itu yang arahan kepada Abraham itu diberi oleh Najib, yang ketika itu timbalan perdana menteri.

"Saya tidak berminat membuat aduan kepada ASDB. Itu bukan agenda saya. Agenda saya hanya untuk mengetahui siapa yang mengarahkan beliau melakukannya," katanya pada waktu itu.

Leong, semasa di luar mesyuarat itu, mencadangkan Jabatan Peguam Negara mengkaji semula kes Altantuya berdasarkan bukti daripada pendedahan Americk itu, dan juga pengakuan Deepak mengenai penglibatannya dalam kes itu.

"Banyak yang diperkatakan mengenai tiadanya motif yang jelas bagi kedua-dua pegawai polis itu melakukan jenayah itu. Itu persoalan yang masih belum terjawab," kata Leong.

Dua bekas komando polis – Koperal Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri – yang dituduh membunuh Altantuya, didapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sabitan mereka bagaimanapun, ditolak Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan Putrajaya dan keputusan akhir dijangka dibuat sebelum akhir tahun ini.

Bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan tanpa dipanggil membela diri pada 2008.

Balasubramaniam, dikenali juga sebagai "PI Bala", menuduh beberapa personaliti tertinggi kerajaan persekutuan terlibat dalam pembunuhan Altantuya dalam SD pertamanya pada 2008, dua tahun selepas pembunuhan wanita itu.

Tetapi dia menarik balik SD itu keesokan harinya dan menandatangani SD baru, di mana nama personaliti itu, termasuk Najib dikeluarkan.

Bala meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac tahun lepas, beberapa minggu selepas pulang daripada 'buang negeri' yang dilakukannya sendiri.

Peguam yang biasa dengan prosiding tatatertib berkata, jawatankuasa itu akan melaporkan penemuan dan cadangannya kepada lembaga, termasuk hukuman yang perlu dijatuhkan kerana salah laku.

Mengikut undang-undang, peguam yang didapati bersalah kerana salah laku boleh ditegur, didenda, digantung daripada menjalankan tugas sehingga lima tahun, atau nama digugurkan daripada daftar peguam .

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .