» » 'Kekayaan tidak saksama boleh undang rasuah'


Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini mengingatkan Putrajaya supaya berhenti menafikan kewujudan kekayaan tidak sama rata di negara ini dan sedar kesusahan hidup dan kemiskinan juga boleh menyebabkan kegiatan rasuah.

Dalam ucapannya, baginda memetik angka menunjukkan pendapatan rendah di kalangan majoriti isi rumah di Malaysia, sambil berkata mereka yang bertungkus lumus memenuhi keperluan hidup terdedah dengan rasuah pada skala kecil.

Baginda berucap pada majlis ulangtahun ke-47 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini, di sebalik perbahasan mengenai pengumuman Putrajaya baru-baru ini mendakwa purata pendapatan isi rumah rakyat melebihi RM5,900.

Sementara mengambil maklum yang rasuah juga wujud di kalangan pegawai berpangkat tinggi di sektor awam dan swasta akibat sifat tamak mereka, Sultan Nazrin berkata rakyat golongan bawahan ada yang melakukan kerja kedua bagi menampung keperluan keluarga demi mengelak terjebak dalam rasuah.

Ini akhirnya akan menjejaskan produktiviti mereka di tempat kerja, titahnya.

"Inilah hakikat senario semasa di dalam negara. Bilangan yang tergolong dalam kategori ini akan semakin bertambah jika formula berkesan tidak diperkenalkan terutama memberikan fokus kepada aspek-aspek perumahan, makanan, pengangkutan serta khidmat kesihatan dan rawatan perubatan yang kosnya semakin hari semakin meningkat.

"Negara tidak boleh berada dalam minda penafian akan realiti sebenar yang sedang berlaku," titahnya.

Baginda memetik laporan Model Ekonomi Baru yang menunjukkan 80% isi rumah di negara ini berpendapatan kurang RM5,000 sebulan dan 40% berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Ia juga menunjukkan 78.6% pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Sementara itu, titahnya, tahap keupayaan pelaburan di kalangan majoriti bumiputera boleh dimanifestasikan melalui simpanan Amanah Saham Bumiputera di mana 75% daripada penabungnya memiliki purata tabungan hanya RM611 seorang.

Sultan Nazrin bertitah, data itu sangat membimbangkan dalam usaha negara mencapai taraf negara maju dengan sasaran pendapatan per kapita RM48,000 setahun pada tahun 2020.

Katanya, keadaan itu umpama penyakit yang memerlukan rawatan serius.

"Ia bukan sakit tekak yang bersifat sementara, boleh diubati dengan gula-gula strepsil. Ia penyakit sosial yang serius, memerlukan rawatan intensif daripada doktor dan pakar bedah sosial, memerlukan formula perubatan dari farmasi sosial yang berupaya merangka dasar sosial yang komprehensif lagi holistik untuk dilaksanakan," katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .