Pelakon Eina Azman
mengakui kontroversi yang pernah tercetus antaranya dengan aktor Afiq Muiz pada
tahun lalu membuatkan dia kurang diminati di kalangan segelintir masyarakat.
Eina atau nama
sebenarnya Ainur Syakina Azman, 19, berkata, selepas kejadian itu, dia mula
memperbaiki diri dan menjadikan perkara itu sebagai satu pengajaran besar untuk
bersikap lebih matang.
"Orang kata
pengalaman itu satu pengajaran. Itu yang saya rasa sekarang ini. Apa yang dah
berlaku sebelum ini saya jadikan sebagai pembelajaran hidup untuk menjadi
seorang yang lebih berfikiran matang.
"Dan rasanya saya
sudah membaiki sikap keanak-anakan itu. Alhamdulillah, orang mula menerima saya
sedikit demi sedikit," katanya kepada mStar Online.
Terdahulu, kontroversi
antara Eina dan Afiq tercetus apabila aktres itu dikatakan menjadi punca Afiq
menderhaka kepada ibunya sehingga tidak pulang ke rumah.
Dalam pada itu menurut
Eina, dia mula merasakan mempunyai tambahan peminat sejak membintangi drama
bersiri Selamat Pengantin Madu yang kini masih bersiaran di TV3 setiap Khamis,
pukul 9 malam.
Katanya, ini
menunjukkan masyarakat masih lagi memberi peluang untuknya menonjolkan bakat
yang ada.
"Mula-mula ketika
menerima watak antagonis, risau juga kerana sudahlah orang tak berapa nak suka
saya, berlakon watak jahat juga pasti akan ada kesannya.
"Memang benar,
orang menyampah melihat saya dalam drama itu tetapi mereka sukakan lakonan
saya. Peminat saya makin bertambah hanya kerana drama ini sahaja," ujarnya.
Dalam pada itu Eina
berkata, dia juga sering mendapatkan tunjuk ajar daripada aktres Fasha Sandha
yang turut membintangi Selamat Pengantin Madu selain menjaga disipllin di
lokasi penggambaran.
"Saya percaya, menjaga disiplin kerja akan membuatkan mana-mana pihak pun senang dengan kita. Saya harap akan mengekalkan prestasi kerja sebaik mungkin," tuturnya.
No comments: