Mohd Mazlan menyimpan wang selama 12 tahun dengan impian memiliki sebuah rumah di Johor Baru, tetapi berita yang mengatakan harga hartanah di kawasan itu mungkin akan turun, tidak membawa sebarang harapan buatnya.
Pada usia 30 tahun dengan seorang isteri dan dua anak, Mazlan ialah sebahagian generasi baru warga Johor yang rasa tertekan dan 'tidak cukup duit' tinggal di Johor Baru walaupun kejayaan Iskandar Malaysia digembar-gemburkan oleh kerajaan dan ahli perniagaan.
Walaupun pakar hartanah, tuan tanah dan pemimpin politik berkata pasaran dalam keadaan bertenang selepas beberapa tahun mengalami kenaikan harga yang tidak terkawal, masih ada yang merasakan harga rumah berada di luar kemampuan sebahagian besar penduduk.
Ramai juga yang mengungkapkan "bukan untuk kita" apabila ditanya mengenai harga hartanah di selatan Johor ini.
Ia menggambarkan kekecewaan mereka tertinggal di belakang walaupun ledakan hartanah sedang giat berlaku hasil projek Iskandar Malaysia.
Ia juga merupakan satu kecaman terhadap keseluruhan projek itu. Kerana, sekiranya bukan rakyat Johor yang merasai hasil pembangunan yang dibawa Iskandar Malaysia, apa gunanya projek itu?
Langkah menenangkan pasaran
Menurut pakar, ledakan pasaran hartanah di selatan Johor adalah hasil pemasaran dan aktiviti di sekitar Iskandar Malaysia.
Dilancarkan pada 2006 dengan lima zon utama, Iskandar Malaysia juga bertujuan menghidupkan semula Johor Baru yang selama beberapa tahun ini menjadi pasaran diskaun yang besar bagi warga Singapura dan mereka yang datang bekerja di situ.
Projek canggih naik di seluruh kawasan itu yang memang sudah padat. Pantai Lido yang popular di Johor Baru, dulunya penuh sesak di hujung minggu dan merupakan anjung tinjau bagi Singapura, sekarang tiada lagi.
Sebahagian besar pantai dijual kepada syarikat pembinaan mega dari China yang membina kondominium mengadap laut bernilai jutaan ringgit.
Difahamkan yang beberapa syarikat ini begitu kaya sehingga mampu membawa ke sini peralatan, bahan dan pekerja mereka sendiri, terus dari China.
"Kemeriahan dan keterujaan yang dicipta selaras dengan kemasukan ramai pemain baru dalam bentuk projek pemangkin, pemaju, pelabur dan akhirnya, spekulator," kata V Sivadas, seorang perunding hartanah di Johor Baru.
"Spekulator mula membiak akibat iklim kewangan di sini yang lemah dan kurang berhati-hati," kata Sivadas, pengarah eksekutif PA International Property Consultants.
Tetapi pasaran mula tenang tahun ini selepas kerajaan menyemak semula Cukai Keuntungan Harta Tanah dan memutuskan warga asing hanya boleh membeli harta bernilai RM1 juta dan ke atas.
Bagaimanapun, tahun ini sehingga Jun, terdapat penurunan yang besar dalam jualan dan nilai jualan, berbanding pada 2012, kata Sivadas.
"Berbanding dengan separuh pertama 2012, terdapat penurunan kira-kira 48% dari segi jumlah urus niaga, dan penurunan kira-kira 37% dari segi jumlah nilai urus niaga pada separuh pertama tahun 2014."
Kemeriahan masih belum reda
Namun, berita pasaran kembali tenang tidak disambut dengan sorakan oleh rakyat seperti Mazlan di Kampung Majidi atau Loh, yang menjalankan sebuah kedai perkakasan di Bukit Indah, bersebelahan Nusajaya.
Kadar sewa kedai di kawasan itu mencanak naiknya, kata Loh. Tahun lalu, tuan tanahnya mengenakan RM1,000 untuk lot kedainya yang terletak di tingkat bawah itu. Tahun ini, ia meningkat kepada RM2,000.
Pemilik kedai sedang cuba mengaut keuntungan daripada kadar kepenggunaan dan pertumbuhan penduduk yang tinggi hasil daripada Iskandar Malaysia, kata seorang pemilik hartanah komersil di Johor Baru yang tidak mahu dikenali.
Apa yang tidak disedari pemilik hartanah ini ialah penyewa seperti Loh tidak membuat sebarang keuntungan akibat kos inflasi dan operasi yang meningkat naik.
"Kos elektrik meningkat tahun ini. Harga barangan kami juga jadi lebih mahal. Tetapi kami tidak boleh menaikkan harga kerana takut nanti pelanggan akan lari."
Tinjauan Malaysian Insider mendapati, aduan yang paling banyak diterima daripada 18 kedai di selatan Johor ialah kos operasi yang lebih tinggi berikutan kadar sewa yang lebih tinggi.
Keluhan kedua mereka ialah, gaji pengguna tidak dapat menyaingi kenaikan inflasi.
Menurut Kajian Pendapatan Isi Rumah kerajaan 2012, purata pendapatan isi rumah di Johor ialah RM4,658 sebulan.
Ketika kos sara hidup meningkat di Johor Baru, penduduk merasakan mereka tidak mampu membayar ansuran bulanan dengan memiliki rumah pada harga purata RM300,000.
"Dan, itu baru di Kulai," kata Mazlan, merujuk kepada bandar yang terletak lebih kurang 30km dari Johor Baru.
Kemakmuran untuk semua
Sivadas percaya kedua-dua kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri perlu lebih terlibat dalam pasaran hartanah.
Keseimbangan perlu dicapai antara memenuhi kehendak pelabur di pasaran dan keperluan masyarakat memiliki rumah mengikut kemampuan mereka.
Contohnya, kondominium mewah di tepi pantai Johor Baru itu mewujudkan persepsi yang terdapat kebanjiran hartanah mewah di sana, katanya.
Tidak pasti siapa yang akhirnya akan membeli unit ini, kerana harganya jauh lebih tinggi, di luar jangkauan penduduk tempatan.
"Kuasa berada di tangan kerajaan negeri untuk membetulkan keadaan ini yang tiada keselarasan antara penawaran dan permintaan dalam sektor perumahan," kata Sivadas.
"Kerajaan juga perlu membuka jalan utama yang baru bagi menggalakkan pembangunan perumahan di kawasan seperti Kempas, Senai, Kulai, Ulu Tiram dan Pekan Nenas."
"Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai bank tanah perlu menumpukan perhatian kepada perumahan untuk golongan miskin dan sederhana, bukan bersaing dengan pemaju swasta di sektor mewah."
Hanya dengan menyeimbangkan keperluan pelabur, pemaju dan penduduk, kemakmuran Iskandar Malaysia dapat dinikmati oleh semua orang, kata Sivadas.
No comments: