» » 'Golongan pendapatan tinggi bayar RON95 ikut harga pasaran'


Harga jualan petrol RON95 bagi golongan berpendapatan tinggi adalah mengikut harga pasaran mulai Jun tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

"Mereka akan membayar harga RON95 mengikut harga pasaran. Misalnya kalau harganya RM2.58 sen seperti sekarang, maka RM2.58 sen lah. Mungkin bila harga minyak dunia turun, maka turunlah. Kalau naik terpaksalah (bayar lebih tinggi)," katanya.

Ahmad berkata golongan berpendapatan rendah dan sederhana pula akan terus menikmati RON95 pada harga subsidi.

"Sistem ini lebih adil sebab hanya golongan yang layak sahaja akan menerima subsidi," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan taklimat berkenaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk pegawai kanan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta agensi-agensi dibawahnya di Bangi hari ini.

Harga RON95 ketika ini ialah RM2.30 seliter.

Ahmad berkata mekanisme dan kaedah pelaksanaannya sedang diperhalusi Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sama ada menggunakan MyKad atau kad-kad lain.

Menurutnya sistem yang sama akan turut dilaksanakan kepada pengguna diesel mulai Januari tahun depan melalui menggunakan kad fleet.

Dalam sidang media yang sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata taklimat mengenai CBP itu amat penting supaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan perkara tidak benar yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya penerangan kepada penduduk luar bandar juga akan diperhebatkan bukan sahaja menerusi taklimat ke seluruh negara oleh Kementerian Kewangan sendiri, malahan melibatkan agensi-agensi di bawah KKLW.

Ia penting supaya kefahaman mengenai GST itu dapat diperjelaskan hingga ke peringkat akar umbi, kata beliau.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .