» » 'G'esa Pemuda Umno lebih progresif tetapi pertahan Akta Hasutan'


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa ahlinya supaya menjadi lebih progresif, tetapi pada masa sama mempertahankan penggunaan Akta Hasutan 1948.

Khairy yang juga menteri belia dan sukan itu berkata, walaupun beliau menyokong kebebasan tetapi ia ada batasnya.

"Bila kita cakap Akta Hasutan, walaupun kita mahu lihat kebebasan tetapi ia mesti ada had dan batas kepada kebebasan itu.

"Ini kerana masyarakat majoritinya tidak boleh terima agama dihina, kaum dihina dan raja-raja dipertikai haknya," kata Khairy dalam forum 'Evolusi Politik Anak Muda Malaysia: Dulu, Kini dan Akan Datang' di Wisma PNS Kelana Jaya, Selangor malam tadi.

Khairy berkata, akta yang dicipta penjajah British itu masih penting dan bukan saja khusus untuk membela kaum Melayu, tetapi melindungi kaum lain di Malaysia.

"Bila kita cakap jangan sentuh Islam dan Melayu, mesti dikatakan Akta Hasutan atau sama dengannya perisai orang Melayu.

"Tetapi dalam isu sekolah Cina, masyarakat Cina kata guna Akta Hasutan. Jadi, Akta Hasutan ini mempertahankan sensitiviti kita, ia penting," katanya.

Beliau berkata, setiap keterbukaan juga mempunyai batas dan kebertanggungjawaban.

Menantu bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi itu bagaimanapun berkata, Umno tidak boleh semata-mata bergantung kepada politik berhaluan kanan.

"Walaupun kita kekalkan politik haluan kanan kita, soal perjuangan bangsa, agama dan negara kita yang tidak boleh terpisah sebagai pelindung, tetapi pada masa sama kita mesti menerima politik baru," katanya.

Khairy berkata, politik progresif yang cuba dibawanya dalam Umno tidak bermaksud mengorbankan perjuangan asal parti pemerintah itu.

"Saya pernah kata saya cuba bawa politik yang progresif dalam Pemuda dan Umno, progresif itu tidak bermaksud kita korbankan perjuangan asal untuk bangsa, agama dan negara," katanya.

Khairy kemudiaan memberikan contoh dua insiden yang melibatkan Pemuda Umno, insiden pencerobohan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan ancaman serangan di ibu pejabat DAP sebagai bukti pergerakan tersebut masih menjadi barisan depan.

"Politik berhaluan kanan ini masih ada dalam Umno," katanya.

Namun, Khairy berkata Pemuda Umno perlu bergerak seiring dengan iklim politik baharu yang lebih bebas dan terbuka.

"Zaman dulu kita berada dalam persekitaran dan iklim politik jauh berbeza dengan hari ini, keadaan amat berbeza sama sekali.

"Ketika itu kita tidak ada kebebasan seperti kita lihat hari ini, kita tidak ada keterbukaan seperti zaman ini," katanya.

Khairy berkata, zaman dihadapi pergerakan tersebut ketika ini lebih kompetitif dan usaha lebih perlu dilakukan untuk meraih sokongan anak muda.

"Kita hidup dalam persekitaran yang kompetitif sekarang ini," katanya.

Khairy menggesa Pemuda Umno membawa politik untuk seluruh rakyat Malaysia dan tidak semata-mata bergantung kepada haluan politik kanan yang selama ini dibawa.

"Apa yang lebih penting adalah tunjukkan perjuangan dalam konteks sebenar hari ini iaitu untuk kita melihat jalan kesederhanaan.

"Bukan hanya bawa politik berhaluan kanan, tetapi bawa politik untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .