» » Definisi ‘golongan berpendapatan tinggi’ perlu jelas berkaitan RON 95


Kerajaan perlu memberikan satu definisi jelas mengenai "golongan berpendapatan tinggi" sebelum melaksanakan peraturan baharu subsidi petrol RON95 bagi golongan itu.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata ini kerana definisi golongan itu kini berbeza-beza mengikut situasi dan kawasan tempat mereka berada.

Sambil menyifatkan pengumuman itu sebagai sesuatu yang ditunggu-tunggu, katanya golongan berada ialah mereka yang apabila berlaku kenaikan kos tidak akan mempengaruhi kehidupan mereka.

"Mereka yang berpendapatan RM5,000 hingga RM10,000 pun masih tertekan dengan kos sara hidup jika hidup di bandar.

"Pertama kerajaan kena cari golongan betul-betul tidak layak terima subsidi, kedua industri yang tidak layak mendapatnya perlu dikeluarkan, ketiga ketirisan kerajaan perlu diatasi, barulah pergi kepada pengguna domestik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata harga jualan petrol RON95 bagi golongan berpendapatan tinggi adalah mengikut harga pasaran mulai Jun tahun hadapan.

Ahmad berkata mekanisme dan kaedah pelaksanaannya sedang diperhalusi Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sama ada menggunakan MyKad atau kad-kad lain.

Golongan berpendapatan rendah dan sederhana pula akan terus menikmati RON95 pada harga subsidi.

Penganalisis ekonomi Datuk Mohd Yusof Kassim berkata langkah dibuat kerajaan memberi faedah besar kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana serta memberi impak positif kepada pembangunan negara.

Jelasnya penjimatan daripada langkah itu boleh disalurkan kepada projek yang berfaedah untuk rakyat dan agihan pendapatan negara kepada golongan berpendapatan sederhana.

"Sebenarnya harga pasaran bukan sepanjang masanya tinggi, ada masanya turun, macam sekarang ini harga pasaran rendah.

"Pelaksanaan itu satu isu, konsep betul, mungkin kerja kerajaan dan swasta boleh tengok slip gaji, cuma orang bekerja sendiri, boleh dilihat dia bayar cukai macam mana," katanya.

Pandangan sama turut diutarakan pakar ekonomi Prof Dr Mohamad Aslam Haneef daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berkata isu mekanisme pelaksanaan memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan langkah itu.

"Jika ia hanya melibatkan golongan berpendapatan tinggi, ok lah, kerana sepatutnya yang berpendapatan tinggi tidak sepatutnya diberi subsidi.

"Sepatutnya langkah ini akan kurang perbelanjaan kerajaan, namun cara pelaksanaan mesti difikirkan, bagaimana anda nak tentukan seseorang itu berpendapatan tinggi. Bergantung pada mekanisme," katanya .

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .