Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini masih tidak dapat menangani isu ketirisan dan rasuah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua pembangkang itu berkata, bajet kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) masih tidak menyentuh soal pokok seperti ketirisan dan rasuah yang menyebabkan hutang kerajaan semakin meningkat naik.
"Ia masih tidak dapat menangani soal sara hidup yang meningkat, ketirisan dan rasuah. Semua ini yang tidak disentuh dalam bajet," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2015 di Parlimen hari ini.
Hari ini, Najib yang juga menteri kewangan, membentangkan bajet keenamnya di sidang Dewan Rakyat.
Semalam, beliau menulis di dalam blognya NajibRazak.com, Bajet 2015 akan bersifat “pro-rakyat” dan akan mengurangkan kebimbangan mereka mengenai kos sara hidup yang meningkat.
Ketua pembangkang itu berkata, masih terdapat isu yang perlu diberi penumpuan berbanding pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
"GST tidak hanya berkenaan pengutipan cukai tetapi cara pendekatan di mana ia pasti akan menaikkan harga barangan," katanya.
Beliau turut mempersoalkan pengumuman Najib berhubung kerajaan berhasrat mengurangkan defisit sehingga 3%.
Anwar berkata, pihaknya akan mengkaji dengan lebih terperinci mengenai pelaksanaan bajet tersebut dan membahaskan perinciannya di Dewan Rakyat pada Isnin depan.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata bajet tersebut langsung tidak menyentuh bagaimana kerajaan menangani masalah ketirisan dan kronisme.
Lim berkata, meskipun ia seperti belanjawan yang berjiwa rakyat namun apabila diteliti lebih mendalam ia tidak menyelesaikan isu pokok iaitu ketidakcekapan dalam pentadbiran, amalan kronisme hingga menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit.
"Apa yang kita kecewa ialah apabila tiada kaedah untuk memenangi ketirisan, korupsi apatah lagi membanteras jenayah.
"Masih tiada usaha untuk menjadikan ia benar-benar berjiwa rakyat dan bagaimana anda mahu memastikan ekonomi rakyat meningkat sekiranya isu korupsi dan kronisme tidak ditangani," katanya.
No comments: