Dua anggota polis
mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan meminta dan
menerima suapan pada 2010.
Mereka ialah Konstabel
Zaidi Tahir, 27, yang menghadapi tiga pertuduhan manakala Lans Koperal Ismail
Mohamad Bohari, 35, pula berhadapan dengan dua pertuduhan bersubahat melakukan
rasuah.
Zaidi dituduh meminta
suapan RM10,000 daripada Lee Chia Yoong sebagai dorongan agar tidak mengambil
tindakan terhadapnya dan Lee Theng Theng yang disyaki memiliki 96 biji pil
Eramin 5.
Dia melakukan
kesalahan itu di Jalan Kampung Puyu dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU)
antara 11 pagi dan 12 tengah hari pada 6 Nov 2010.
Tertuduh didakwa
mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak
kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang
lebih tinggi.
Zaidi juga dituduh
menerima suapan RM5,000 daripada Chia Yoong pada 1 tengah hari, 6 Nov 2010 dan
menerima RM3,000 antara 5 petang dan 5.15 petang pada 10 Nov 2010 di Stesen
Minyak Caltex, Jalan Raja Uda, SPU.
Sementara itu Ismail
pula dituduh bersubahat dengan Zaidi menerima suapan bernilai RM5,000 dan
RM3,000 pada tarikh, masa dan tempat yang sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan
itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan
hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima
kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Hakim Meor Sulaiman
Ahmad Tarmizi membenarkan Zaidi diikat jamin RM8,000 manakala Ismail RM6,000,
masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Nov untuk sebutan
semula kes.
Pendakwaan
dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Kedah Syahrul Khuzaini Amiruddin.
No comments: