» » 'Work smart' dan jangan 'work hard'


Jonathan Allen Yabut membawa bersama seterika stimnya semasa menyertai program realiti "Apprentice Asia" musim pertama tahun lepas.

Selepas menyaksikan kesemua keluaran sampingan "Apprentice", program realiti Amerika Syarikat mengenai peserta berbakat bersaing bagi merebut peluang bekerja dengan saudagar hartawan, beliau tahu menyiapkan kerja rumah adalah perkara terakhir yang patut dirisaukannya dalam pertandingan sengit itu.

"Kami hanya selesai penggambaran selepas tengah malam, kemudian kami terpaksa bangun pukul 5 pagi atau lebih awal untuk mekap dan dandanan sebelum memulakan penggambaran.

"Setiap pagi semua peserta lain kelam-kabut membasuh dan menggosok pakaian. Hanya saya seorang duduk di dapur, menikmati kopi dan mengatur strategi untuk hari itu," katanya.

Panggillah apa sahaja, kata pemuda Filipina berusia 28 tahun itu yang memenangi "Apprentice Asia", kerana pada akhirnya bekerja dengan bijak lebih penting daripada bekerja keras.

"Dalam budaya Asia, kita berbangga bekerja 12 hingga 14 jam sehari. Akan tetapi tugas itu mungkin boleh disiapkan dalam masa lima jam, ditolak masa melayari Facebook, Twitter atau YouTube," kata Yabut dalam Simposium Kepimpinan Lembaga Korporat yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya pada kebanyakan masa, pekerja sibuk dengan projek dan melaksanakan apa yang disuruh tetapi lupa untuk melihat gambaran keseluruhan.

Yabut antara 12 peserta yang dipilih daripada 30,000 pemohon untuk musim pengenalan 'Apprentice Asia' yang ditayangkan tahun lepas.

Peserta diberi pelbagai tugas mencabar dengan seorang peserta "dipecat" pada setiap akhir episod oleh pengacara program iaitu taikun industri penerbangan Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes.

Sebagai pemenang, Yabut memperoleh gaji enam angka, kontrak setahun sebagai Ketua Staf AirAsia Bhd, syarikat penerbangan bajet terbesar Asia yang diasaskan oleh Fernandes.

Bercakap kepada Bernama selepas pembentangannya, Yabut berkata kontraknya diperbaharui untuk 12 bulan lagi.

Eksekutif itu yang baru-baru ini menulis buku "From Grit to Great", pada masa ini mengendalikan perniagaan bukan teras AirAsia termasuk yang akan dilancarkan tidak lama lagi iaitu perkhidmatan wi-fi dalam penerbangan serta portal berkenaan pengembaraan "TripAdvisor for AirAsia".

Ditanya mengenai kemahiran yang perlu ada untuk bekerja dengan ketua yang tegas seperti Fernandes, Yabut berkata rahsianya ialah keupayaan menguruskan jangkaan.

"Menguruskan jangkaan sangat penting. Apa yang bos anda fikir dan realitinya mungkin berbeza," katanya.

Teliti projek dari awal bagi mengetahui tempoh yang diperlukan, siapa yang terlibat, dokumentasi serta kos selain berkomunikasi secara langsung dengan ketua, nasihatnya.

Katanya sebagai perantis kepada Fernandes, beliau sedar pelbagai laluan kerjaya boleh dipilih.

"Tony sentiasa berkata: 'Jangan takut untuk berhenti kerja di pejabat. Jika anda ingin memenuhi impian, lakukan sahaja'.

"Setiap pekerja di AirAsia mempunyai kemahiran keusahawanan yang tinggi. Jika anda tinggalkan AirAsia, anda sudah dilatih dengan baik sebagai usahawan, anda akan ketepikan semua formaliti untuk memastikan sesuatu itu berjaya jika ia boleh dilakukan dengan kos yang rendah dan cekap," katanya.

Selepas empat atau lima tahun lagi bersama AirAsia, Yabut berkata beliau mahu melancarkan perniagaan permulaan sendiri dengan pengalaman yang diperoleh daripada "Apprentice Asia" dan mentornya Fernandes.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .