» » 'Undang-undang berpihak kepada pendakwa dalam kes hasutan'


Akta Hasutan mencipta padang tidak sama rata kerana mahkamah selalu membuat tafsiran sempit berkenaan undang-undang tersebut yang biasanya memihak kepada pendakwa, membuatkan ia mustahil bagi pihak tertuduh mendapat pembebasan, kata peguam.

Mereka berkata mereka juga bingung dengan standard pembuktian rendah yang diperlukan dalam kes hasutan dan oleh hakim yang menerima permohonan pendakwaan sebelum menetapkan hukuman penjara, walaupun untuk pesalah kali pertama.

Mereka memberitahu The Malaysian Insider, penting bagi hakim mentafsir undang-undang persekutuan seperti Akta Hasutan 1948 bersama dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Artikel 10, yang menjamin kebebasan berucap dan bersuara.

Pintu kepada peluang ini dibuka berikutan cabaran keperlembagaan yang dibuat atas undang-undang zaman penjajah itu oleh tiga orang didakwa mengikut akta itu, pensyarah undang-undang Prof Madya Dr Azmi Sharom, peguam dan ahli Parlimen Padang Serai N Surendran dan ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda Mat Shuhaimi Shafiei yang mendakwa akta itu melanggar hak kebebasan bersuara.

Peguam Balwant Singh Sidhu berkata, tidak seperti kesalahan jenayah lain di mana pendakwaan perlu membuktikan tindakan dan niat di pihak tertuduh, peraturan ini tidak terpakai dalam kes hasutan.

"Untuk hasutan, tindakan sahaja sudah mencukupi. Niat tidak relevan," katanya sambil menambah pihak pendakwa tidak perlu menunjukkan terdapat hasutan oleh pihak tertuduh atau kemudaratan dialami pihak ketiga.

Beliau berkata pendakwa hanya perlu menunjukkan tertuduh membuat kenyataan atau ucapan cenderung ke arah menghasut.

Balwant berkata dalam senarai panjang perbicaraan hasutan di negara ini, terutamanya selepas 1970, hanya peguam Datuk Param Cumaraswamy dibebaskan.

Minggu lepas, aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan selepas Mahkamah Sesyen mendapatinya bersalah kerana mendakwa Barisan Nasional (BN) menipu semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Aktivis Safwan Anang baru-baru ini menerima hukuman penjara 10 bulan berhubung kenyataan yang dibuatnya di sebuah forum tahun lepas.

Aktivis hak asasi manusia P Uthayakumar menerima hukuman penjara paling lama setakat ini – 30 bulan – kerana memuatnaik surat 'berunsur hasutan' di satu laman web pada 2007. Minggu lalu, Mahkamah Rayuan mengurangkan tempohnya ke 24 bulan.

Balwant berkata pihak kehakiman mesti memikirkan sebaik-baiknya sama ada satu kenyataan boleh dianggap sebagai hasutan atau tidak.

"Undang-undang sekarang agak kabur dan boleh disalahguna," tambahnya.

Bekas presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan berkata dengan menghukum penjara pesalah kali pertama, ia petanda kukuh mahkamah tidak mengiktiraf kebebasan bersuara.

"Mahkamah seharusnya menjadi benteng terakhir keadilan dan pembela hak individu dan perlembagaan," katanya.

Dalam sebuah sistem demokrasi, katanya, seseorang mempunyai hak menyuarakan pendapat walaupun majoriti mungkin tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.

Katanya kumpulan dan individu pinggiran memang akan selalu wujud membuat kenyataan yang mengapi-apikan keadaan tetapi pandangan sedemikian tidak menggambarkan pandangan majoriti.

"Sepatutnya ada sedikit kebebasan selagi kenyataan menghasut itu tidak berakhir dengan keganasan atau mengancam ketenteraman awam atau keselamatan negara," kata Ragunath.

Bagaimanapun, beliau mendakwa kehakiman terikut-ikut sentimen umum dan ini sesuatu yang salah kerana mahkamah sepatutnya menilai dari segi impak sesuatu kenyataan yang dibuat.

Peguam Lawyer Abdul Shukor Ahmad berkata kes hasutan terhadap mendiang Karpal Singh membuktikan undang-undang memihak kepada pendakwa dan ini meningkatkan peluang sabitan kesalahan.

Memetik keputusan Mahkamah Rayuan tahun lepas dalam membenarkan rayuan pendakwa terhadap pembebasan Karpal sebelumnya yang tidak diminta mempertahankan diri, Shukor berkata, "Mahkamah yang lebih tinggi mentafsirkan undang-undang hasutan sekarang dengan cara yang sangat sempit dan ini menjadikan ia mustahil bagi seorang tertuduh mendapatkan pelepasan.

"Juga, ini menjadi satu preseden yang bahaya untuk mahkamah yang lebih rendah."

Sebulan sebelum kematiannya April tahun ini, Karpal didapati bersalah menghasut kerana mengatakan Almarhum Sultan Perak bertindak di luar perlembagaan dalam melantik menteri besar yang baru pada 2009. Karpal didenda RM4,000.

Shukor juga berkata konteks sejarah yang membawa kepada pengenalan Akta Hasutan tidak lagi wujud, dan keadaan semasa menuntut mahkamah mengkaji undang-undang dalam suasana hari ini dan selaras dengan prinsip tafsiran perlembagaan.

"Pada masa itu, ia (akta) untuk melawan pemberontakan komunis dan pembahagian mengikut kaum. Selepas 57 tahun merdeka, masyarakat kita kini matang dan mempunyai tahap toleransi yang jauh lebih baik," katanya.

"Peguam mesti mengambil peluang ini menggesa hakim mentafsir undang-undang dengan sewajarnya dan melakukan audit perlembagaan terhadap Akta Hasutan."

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .