Menjadi pemimpin negara hari ini memerlukan kemahiran dan pengetahuan berbanding pemimpin terdahulu yang lebih mementingkan isu politik, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut bekas perdana menteri itu, selain krisis politik, seorang pemimpin yang baik mesti bijak menangani masalah negara yang lain seperti kewangan dan ekonomi.
Katanya, pemimpin yang bagus harus kuat dan nekad membuat keputusan dalam menangani krisis negara walaupun ia bukan satu keputusan yang digemari ramai.
"Jadi pemimpin ini kena kuat berdepan dan menangani krisis. Kena kuat semangat, bukan bergantung semata-mata kepada populariti," katanya ketika berucap pada program Kepimpinan Asas Perdana CEO 2014 di Kuala Lumpur hari ini.
"Kepimpinan yang baik hanya akan diperolehi oleh mereka yang berpengetahuan tinggi dan memahami sesuatu isu. Bukan bergantung kepada terkenal di arena politik tetapi tidak pandai menangani krisis."
Beliau bagaimanapun menafikan kenyataannya itu ditujukan kepada pemimpin tertentu.
"Saya tidak tujukan perkara ini kepada sesiapa, tidak kepada Datuk Seri Najib Razak, zaman beliau dan zaman saya lain, jadi saya ucapkan selamat maju jaya pada beliau," katanya.
Dr Mahathir kebelakangan ini dilihat kerap mengkritik pentadbiran perdana menteri berikutan kenyataannya menerusi laman blognya bulan lepas menarik balik sokongan terhadap Najib.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau dilihat menggunakan situasi perubatan dalam menangani krisis.
Katanya, pemimpin disarankan menggunakan kaedah seperti seorang doktor yang sedang mendiagnosis pesakit, ketika berdepan dengan krisis.
"Ini contoh paling klasik. Ketika negara menghadapi krisis kewangan, saya hanyalah seorang doktor yang tidak pandai mengenai hal kewangan.
"Namun, saya menggunakan kaedah seorang doktor dalam mengesan penyakit, iaitu dengan melihat kembali sejarah seorang pesakit dan beberapa proses lain sehinggalah punca itu dapat dikenalpasti," katanya.
Katanya dengan menggunakan kaedah tersebut ia akhirnya bertukar menjadi satu kelebihan buat dirinya dan negara ketika Malaysia berdepan dengan krisis kewangan Asia pada 1997.




No comments: