» » 'Tiada industri seks di Malaysia'


Bukit Aman hari ini menyifatkan sebuah laporan berbentuk video tentang perdagangan seks bawah umur di Malaysia 'berat sebelah' dan cuba menggambarkan negara ini sebagai sebuah pusat kegiatan seks.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, SAC Roslee Chik berkata kepada The Star Online, laporan itu tidak memberi gambaran sebenar kegiatan perdagangan seks di Malaysia.

Menurutnya, kegiatan itu "tidak sebesar mana."

"Istilah 'industri seks' digunakan dalam video itu sangat salah dan negatif. Di Malaysia, memang wujud aktiviti pelacuran, sama sahaja seperti negara lain. Tetapi, penguatkuasaan kerap meminimakan aktiviti ini.

"Seks bukan satu industri di Malaysia, istilah 'aktiviti seks' lebih tepat. Industri boleh membawa maksud keuntungan yang dicapai dari kegiatan ini tinggi, seperti di Thailand, di mana industri seks adalah dibenarkan," beliau dipetik berkata.

Video yang dimaksudkan bertajuk “Trapped – The underage sex industry in Malaysia,” (Terperangkap – Industri seks bawah umur di Malaysia) oleh penerbit dan pengarah Mahi Ramakrishnan.

Ia mengandungi temubual dengan gadis warga asing seawal usia 15 tahun yang terlibat dengan perdagangan seks di Kuala Lumpur.

Sebahagian daripada mereka mengatakan mereka "menjual tubuh" mereka untuk lari dari masalah kemiskinan, sambil ada yang mengatakan mereka diperdaya untuk datang ke bandaraya ini dan disimpan tanpa persetujuan mereka.

Setengahnya juga mendakwa mereka dipukul oleh individu yang menyimpan mereka.

Satu lagi isu yang dibangkitkan di dalam video itu ialah kegiatan memalsukan dokumen gadis itu, bagi menunjukkan mereka berumur 18 tahun ke atas di atas kertas.

Berkenaan dakwaan dibuat aktivis kanak-kanak Dr Hartini Zainuddin tentang perkara itu, Roslee memberitahu portal berita itu Dr Hartini sepatutnya menyampaikan maklumat yang beliau ada kepada pihak berkuasa.

Di dalam video itu, Dr Hartini mendakwa butiran di dalam dokumen itu tidak disahkan pihak imigresen dan polis.

Roslee dipetik The Star Online berkata mangsa yang terlibat dalam kes perdagangan seks bawah umur seharusnya tampil ke hadapan dan bekerjasama membanteras kegiatan itu.

"Kalau mereka benar-benar ikhlas hendak membantu, badan bukan kerajaan (NGO) ini sepatutnya tampil ke hadapan berserta bukti yang mereka ada. PDRM tidak boleh bertindak berdasarkan khabar angin sahaja," katanya kepada portal itu.

Katanya, video itu dihasilkan pada 2012 dan semua tempat pelacuran yang dilawat wartawan terbabit sekarang ditutup pihak berkuasa.

Apabila dihubungi The Star Online, Ramakrishnan berkata dia gembira mendengar tempat pelacuran itu sekarang ditutup.

Katanya, dia tidak berniat memburukkan pihak berkuasa dengan menghasilkan video itu.

“Tujuannya ialah untuk menunjukkan yang pekerja seks bawah umur memang wujud di Malaysia, dan saya pasti, juga wujud di negara lain.

"Sepanjang pembikinan video itu, polis memang menunjukkan mereka serius menangani masalah ini.

"Saya benar-benar percaya satu-satunya cara menyelesaikan masalah ini ialah dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa, dan memang terbukti dari serbuan yang dilakukan, mereka memang serius membanteras kegiatan ini,” dia memberitahu The Star Online.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .