» » 'Perluas definisi kertas peperiksaan bocor'


Kementerian Pendidikan perlu melakukan lebih daripada menyemak semula prosedur operasi peperiksaan sekolah kebangsaan dan melihat kepada pelbagai cara bagaimana kertas peperiksaan boleh bocor di Malaysia, kata kumpulan pelobi pendidikan.

Definasi kebocoran juga perlu diperluaskan dan apa yang membentuk kebocoran itu juga mesti dinyatakan, kata Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), dan meminta kementerian agar mengambil serius episod berulang ini selepas kebocoran kertas Bahasa Inggeris dan Sains bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) – diambil hampir 500,000 pelajar darjah enam tahun ini.

Pengerusi PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim mengatakan, terdapat beberapa dakwaan kebocoran kertas peperiksaan pada masa lalu akan tetapi tiada tindakan kerana kementerian tidak menganggap ianya sebagai kebocoran sebenar.

“Kami mendengar tentang ini beberapa tahun lalu tetapi tiada siapa yang pernah dihukum. Definisi kementerian tentang apa yang dianggap sebagai kebocoran juga sangat sempit.

“Anda perlu memiliki kertas peperiksaan sebenar, baru kementerian akan menganggapnya sebagai kebocoran,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Noor Azimah berkata, salinan fotostat kepada kertas peperiksaan tidak dianggap sebagai satu kebocoran oleh Kementerian Pendidikan.

“Ia juga tidak dianggap sebagai kebocoran jika soalan disalin dengan tulisan tangan di atas kertas lain. Dan juga, jika ianya ditaip dengan saiz font berbeza, ia tidak dianggap sebagai kebocoran.

“Definasi kebocoran kementerian sangat ketat dan sukar ditentukan sehingga menyebabkan ramai yang terlepas melakukan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, pelaku sudah belajar untuk mencuba dan bekerja dalam sistem untuk membocorkan kertas peperiksaan.

“Malah, tahun lepas apabila seseorang disiasat kerana membocorkan kertas peperiksaan SPM, kami semua sangat yakin beliau akan didakwa. Tetapi beliau terlepas,” katanya.

Noor Azimah merujuk kepada laporan dilakukan tahun lepas selepas soalan Matematik dan Matematik Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikatakan bocor dalam satu seminar.

Tetapi polis kemudiannya menafikan dakwaan itu dan berkata ia hanyalah soalan yang dijangka akan keluar.

Dalam insiden terbaru melibatkan UPSR, kertas mata pelajaran Sains 018, 028 dan 038 yang dijadualkan Khamis minggu lepas ditangguhkan kerana kebocoran sehari sebelum itu.

Pada Khamis berkenaan, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris UPSR 014/1 dan 014/2 pula didapati bocor menyebabkan kemarahan orang ramai kerana pelajar sudah mengambil peperiksaan itu pada waktu pagi.

Peperiksaan ulangan bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris ditetapkan pada 30 September.

Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa bebas 9 orang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi bagi mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) peperiksaan awam.

Polis melakukan siasatan mengenai kebocoran mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan menyoal siasat 12 orang setakat ini.

Tujuh ditangkap sehingga semalam termasuk guru besar di Pulau Pinang, agen insurans dan seorang jurutera. Terdapat juga guru yang disiasat.

Noor Azimah berkata, kementerian terpaksa mengambil tindakan selepas tersebarnya gambar melalui khidmat pesanan WhatsApp.

“Gambar tersebar itu mempunyai perkataan ‘Lembaga Peperiksaan Malaysia’ di atasnya jadi ia seperti mempunyai kertas sebenar.

“Mereka tidak boleh membiarkan perkara ini. Terdapat rungutan awam kementerian perlu melakukan sesuatu,” katanya.

Beliau berkata, kementerian kini harus mula mendefinasikan apa yang dianggap sebagai kebocoran kerana pihak bertanggungjawab akan terus melakukannya menggunakan lompong yang ada jika tiada tindakan diambil tentangnya.

“Jadi tahun depan jika seseorang akan mengambil gambar kertas soalan tanpa perkataan ‘Lembaga Peperiksaan Malaysia’ dan apakah ianya tiada masalah? Atau menaip semula dengan font dan saiz berbeza?

"Kementerian perlu menjangka kebocoran pada setiap langkah dalam proses dan melakukan apa yang perlu untuk mengelakkan kejadian seperti itu daripada berlaku,” katanya.

Beliau juga bersetuju dengan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mahu Ketua Audit Negara menyiasat Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) selepas berlakunya kebocoran itu.

“Ketua Audit Negara perlu campur tangan dan mengaudir proses bagi memastikan keselamatan kertas peperiksaan tidak dikompromi,” katanya.

Kebocoran kertas peperiksaan dianggap di antara paling serius tahun ini dan menjejaskan kira-kira setengah juta pelajar Tahun 6 yang sepatutnya selesai menduduki UPSR Khamis lepas.

Menteri Pendidikan I dan II Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Idris Jusoh memohon maaf kepada ibu bapa dan pelajar sementara ahli Parlimen pembangkang mendesak tindakan tegas terhadap kesalahan tersebut.

Berikutan kes itu, Putrajaya menggantung tugas Pengarah LPM Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh sehingga siasatan selesai.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .