Tindakan Putrajaya meluaskan cengkaman dengan mendakwa pensyarah undang-undang mengikut Akta Hasutan adalah melampau dan keterlaluan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, tujuh pemimpin pembangkang dan seorang ahli akademik yang ditahan menggunakan akta itu menunjukkan pelanggaran proses demokratik dan juga kelemahan prinsip undang-undang.
"Hari ini, gelombang itu juga dirasai Prof Azmi Sharom yang mengutarakan pandangannya berhubung krisis menteri besar di Selangor.
"Secara tidak langsung, kenyataannya bukanlah pro Umno mahupun PR, namun menjunjung kebebasan akademik. Saya percaya Azmi berhak menyuarakan pendapatnya," kata ketua umum PKR itu lagi dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Anwar sehingga hari ini, lima anggota Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat (PR) sudah didakwa.
"Ia merupakan senarai panjang yang akan berterusan namun tiada satu pun pemimpin Umno dan pertubuhan haluan kanan mereka yang rasis dikenakan tindakan," katanya.
Antara ahli Parlimen PR yang didakwa mengikut akta itu adalah Rafizi Ramli (Pandan), N Surendran (Padang Serai), Teressa Kok (Seputeh), Chua Tian Chang (Batu), dan Khalid Samad (Shah Alam).
Manakala, Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan Adun Seri Demila RSN Rayer serta bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin turut didakwa mengikut akta berkenaan.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, sekiranya pendakwaan itu berjaya, sudah pasti akan berlaku enam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen dan tiga PRK Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Apa yang sedang kita lihat adalah cubaan tidak tahu malu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk merampas demokrasi apabila menjadikan pemimpin PR dilucutkan kelayakan menjadi calon pilihan raya.
"Ini bakal menjadi kesalahan serius melalui pintu belakang Pejabat Peguam Negara," kata Anwar.
Anwar turut mengecam tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan Pertubuhan Peronda Sukarela (PPS) di Pulau Pinang semalam yang menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan.
Anwar berkata, 156 anggota PPS yang ditahan adalah rakyat menjalankan tanggungjawab mereka kepada orang awam untuk mengekalkan keamanan.
"Malah, turut terdapat ancaman oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengambil tindakan sama terhadap Unit Amal PAS.
"Unit Amal dikenali sejak sekian lama menjaga kawalan ketika perhimpunan pembangkang selain tugas kemanusiaan dan kebajikan mereka," katanya.
Beliau berkata, kenyataan Pejabat Perdana Menteri berkenaan pemansuhan Akta Hasutan 1948 juga sebagai "penipuan" memandangkan insiden pendakwaan yang berlaku sekarang.
"Akta itu digunakan untuk pendakwaan sekarang. Bagaimana kita boleh memperoleh keyakinan kerajaan serius melakukan pembaharuan perundangan?" soal Anwar.
Anwar berkata, fungsi penuh demokrasi adalah melalui salah guna badan eksekutif dapat disemak melalui badan perundangan.
"Soalannya, adakah kita mempunyai sistem kehakiman yang bebas, dan percaya ahli politik yang mempunyai kuasa eksekutif perlu bertindak berlandaskan undang-undang dan bukannya kesesuaian politik mereka," katanya.
"Adakah kita mempunyai hakim yang akan membuat penghakiman tanpa sebarang rasa takut berlandaskan keadilan?" katanya lagi.
Anwar berkata, kerajaan Najib juga gagal dengan teruk mentadbir dengan adil.
Beliau berkata, ucapan-ucapan berunsur perkauman oleh pemimpin Umno, jentera propaganda mereka dan kumpulan ekstremis berhaluan kanan masih lagi berleluasa dan bebas.
"Kumpulan yang menyuarakan kebebasan dan kebenaran untuk keharmonian rakyat sebaliknya didakwa sebagai penjenayah," katanya.
Anwar berkata, Hari Kemerdekaan perlu disambut bagi memperingati kebebasan negara daripada penjajahan, namun apa yang berlaku adalah penahanan penjajah abad ini terhadap pemimpin pembangkang.
sumber




No comments: