» » 'Pengarah Lembaga Peperiksaan digantung ekoran kebocoran soalan UPSR'


Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan penggantungan pengarah dan timbalan pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) ekoran kebocoran dalam kertas soalan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Muhyiddin, yang juga timbalan perdana menteri berkata, Pengarah LPM Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi LPM Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung berkuat kuasa serta-merta, menurut Bernama.

Na'imah digantung tugas sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan UPSR 2014 selesai.

Muhyiddin berkata, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datuk Misrah Ibrahim akan menjalankan tugas dan tanggungjawab pengarah LPM dalam tempoh itu.

"Kementerian mesti ambil tindakan segera dan tegas kerana insiden seperti ini sudah pasti akan membangkitkan persoalan mengenai integriti LPM dan keseluruhan sistem peperiksaan awam negara kita," tegas beliau.

Muhyiddin bercakap pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Asean ke-8 di Vientiane.

Beliau berkata, keputusan penggantungan tugas dibuat kerana mereka perlu bertanggungjawab dalam perkara ini, dan kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atas kebocoran soalan itu, menurut laporan Bernama.

Susulan itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan sementara kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 terpaksa ditangguhkan.

Peperiksaan bagi kedua-dua kertas itu akan diadakan pada tarikh baharu iaitu pada 30 September.

Muhyiddin berkata siasatan rapi dan menyeluruh berhubung kebocoran kandungan kertas peperiksaan itu dimulakan dan sesiapa yang bertanggungjawab pasti dibawa ke muka pengadilan.

Ketika ditanya berapa lama tempoh penggantungan tersebut, Muhyiddin berkata ia bergantung kepada pihak-pihak berkaitan menyempurnakan siasatan masing-masing.

Timbalan perdana menteri berkata beliau faham perasaan marah masih membara dalam kalangan ibu bapa dan rakyat dengan apa yang berlaku dan kementerian perlu bertindak segera.

Muhyiddin menyifatkan mereka yang melakukan perkara itu sebagai tidak beramanah dan pengkhianat.

Mengulas lanjut tentang penggantungan itu, beliau berpendapat pengarah perlu menanggung risikonya kerana kebocoran itu bukan perkara kecil.

Insiden seumpama itu, katanya, boleh menjejaskan nilai sijil peperiksaan dan pihak kementerian tidak boleh berkompromi dalam soal itu.

Muhyiddin juga berkata individu yang melakukannya tidak memikirkan kesan perbuatan keji mereka yang menjurus kepada hampir setengah juta murid terpaksa menduduki peperiksaan bagi dua kertas itu pada 30 September.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .