Walaupun didakwa atas tuduhan menghasut, Prof Madya Dr Azmi Sharom berkata dia tidak akan memperlahankan rentaknya tetapi akan terus bersuara demi menegakkan kedaulatan undang-undang dan demokrasi.
Pensyarah undang-undang Universiti Malaya berusia 45 tahun itu berkata tiada apa yang radikal tentang kepercayaannya, dan dakwaan menghasut itu tidak akan mengubah apa-apa.
"Saya bukan seorang yang radikal. Sedikit pun tidak," katanya kepada The Malaysian Insider.
"Apa yang radikalnya apabila kita mahu hak asasi manusia dihormati? Apa yang sangat radikalnya tentang menghormati perlembagaan dan memahami perlembagaan mengikut cara yang sepatutnya ia difahami?
"Serius saya tidak faham, apa yang radikal tentang kedaulatan undang-undang? Apa yang radikal tentang demokrasi? Apa yang sangat radikal apabila kita mengambil pendekatan kemanusiaan terhadap kehidupan, tadbir urus dan cara sesuatu dilakukan,” katanya.
Katanya, ideal dan prinsip sebegini 'sangat asas' dan wujud sejak berpuluh tahun.
"Saya tidak takut," katanya mengulas dakwaan mengikut Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadapnya.
"Saya memang selalu berhati-hati apa yang saya ucapkan dan saya tidak akan mengubahnya. Saya tidak tahu bagaimana untuk jadi lebih berhati-hati,” katanya.
Azmi didakwa pada 2 September kerana artikel bertajuk "Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told" (Ambil jalan krisis Perak, selesaikan segera kebuntuan Selangor, Pakatan diberitahu) yang dilaporkan sebuah portal berita pada 14 Ogos.
Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) itu adalah ahli akademik pertama didakwa mengikut akta zaman penjajah itu yang sedang dipertimbangkan Putrajaya untuk dihapuskan dan digantikan dengan akta lebih sesuai.
Turut sama didakwa mengikut akta sama dua tiga minggu kebelakangan ini ialah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (PAS), Naib Presiden PKR N Surendran, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima RSN Rayer (DAP) dan beberapa pemimpin pembangkang lain.
"Ya, saya terkejut. Saya tidak sangka akan didakwa atas tuduhan menghasut berdasarkan apa yang saya cakap. Saya tidak percaya yang saya ada terlepas cakap," kata Azmi walaupun dia mengaku pernah ditegur pentadbiran universiti sebelum ini.
Azmi, yang membesar di Pulau Pinang, menjadi emosional apabila bercakap mengenai sokongan yang diterimanya daripada rakan, pelajar dan orang ramai berikutan dakwaan yang dibuat terhadapnya.
"Pada satu tahap, respon yang diterima ialah berkenaan isu lebih besar iaitu kebebasan bersuara dan kebebasan akademik.
"Tetapi tidak dapat dinafikan terdapat juga yang memberi sokongan peribadi kepada saya. Mungkin bunyinya seperti ego, tetapi bila kita lihat orang terlalu menyokong kita, tidak dapat tidak kita akan terimanya sebagai sesuatu yang peribadi.
"Ia sumber kekuatan buat saya," katanya sebak.
Azmi merujuk sekumpulan ahli akademik, aktivis, pelajar dan peguam yang hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lepas memberi sokongan kepadanya.
Kempen "Solidarity4AzmiSharom” turut dilancarkan dengan beberapa pertubuhan pelajar menyuarakan sokongan mereka termasuk Persatuan Mahasiswa UM, Pro- Mahasiswa UM dan Persatuan Mahasiswa Islam UM.
Esok, mahasiswa UM akan melancarkan ‘hartal’ tanda sokongan kepada Azmi dan tuntutan memansuh Akta Hasutan sementara PKAUM merancang mengadakan himpunan aman di kampus UM pada jam 1 petang.
Hartal adalah perkataan Gujerati bagi protes besar-besaran melibatkan penutupan pejabat, kedai, mahkamah sebagai bentuk menyatakan bantahan.
"Terus terang saya katakan, sebarang ekspresi adalah sah selagi mana tidak melibatkan keganasan atau menggalakkan keganasan dan ucapan kebencian," kata Azmi berkenaan cadangan tersebut.
“Saya tidak nampak bagaimana sebuah ekspresi boleh dianggap salah," katanya sambil menambah hanya mendapat tahu tentang rancangan hartal itu menerusi berita.
Pensyarah undang-undang itu turut mendedahkan beliau dihubungi organisasi antarabangsa Scholars At Risk (Sarjana Dalam Bahaya), sebuah jaringan yang menyokong dan mempertahankan kebebasan akademik.
"Sebahagian diri saya merasa sedikit malu dengan perkara ini. Apabila kita bercakap soal sarjana yang dalam bahaya, sebenarnya kita bercakap tentang mereka di negara yang betul-betul ditindas, di mana mereka ditembak atau diseksa.
"Tetapi saya terharu,” katanya.
Azmi yang menyertai UM pada 1990 sebagai tutor sambilan mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Fakulti Undang-undangnya yang menurutnya "sangat baik".
Menegaskan yang dia bersedia menghadapi dakwaan menghasut itu, Azmi berkata kebenaran akhirnya akan ditegakkan.
"Saya tidak nampak sebab untuk rasa takut.
"Takut ialah salah satu sebab kita berada di tahap kita sekarang," katanya sambil menambah rakyat Malaysia katanya tidak biasa menyuarakan pandangan mereka akibat dikuasai budaya takut.
"Sejak bertahun lamanya, budaya takut menjadi sebahagian daripada Malaysia.
"Ini kerana, kita sudah biasa sangat dengan hal ini, sehingga kita berada pada tahap di mana amalan penting hak asasi manusia dilihat pelik dan berbahaya," katanya.
sumber




No comments: